Polis tumpas geng pecah masuk kedai emas di Pekan Telipok

0

HAMZA (dua kiri) bersama Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas oleh suspek.

Empat lelaki ditahan termasuk dalang yang merupakan bekas banduan

KOTA KINABALU: Empat lelaki tempatan termasuk seorang bekas banduan berumur 26 tahun yang menjadi dalang kes pecah masuk kedai emas Pekan Telipok tempoh hari ditahan polis baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata suspek-suspek yang berusia di antara 26 dan 52 tahun itu ditahan sekitar 9 hingga 13 November lepas.

Ekoran kejadian kedai emas yang dipecah masuk di Pekan Telipok pada 1 November sehingga mengakibatkan mangsa kerugian RM34,000 itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah melakukan operasi mengesan suspek terlibat.

“Akhirnya pada sekitar 9 hingga 13 November lepas kita berjaya menahan kesemua suspek di sekitar ibu negeri termasuklah dalangnya di satu lokasi berhampiran daerah Menggatal.

“Kesemua suspek ditahan kerana didapati terlibat dalam kejadian pecah masuk dan melarikan beberapa barangan seperti tujuh rantai emas di premis Pekan Telipok pada 1 November sehingga mengakibatkan kerugian RM34,000.

“Bagaimanapun, polis telah berjaya menemui serta merampas semula kira-kira RM20,000 daripada suspek dan kita percaya menyelesaikan kes ini,” katanya.

Susulan daripada itu, Hamza berkata pihaknya telah ‘membongkar’ aktiviti dalang terbabit yang dipercayai melakukan lapan kes sepanjang empat bulan lepas.

“Hasil pemeriksaan di rumah suspek yang merupakan dalang kegiatan pecah masuk di kedai emas Telipok itu, polis berjaya membongkar kegiatan yang dilakukannya sebelum ini.

“Kita difahamkan suspek telah terlibat dengan enam kes pecah rumah dan premis serta dua kes membabitkan melarikan kenderaan di sekitar ibu negeri,” katanya.

Beliau menambah, dengan tangkapan suspek itu, polis telah menyelesaikan lapan kes itu sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM200,000 dan berjaya merampas semula kira-kira RM120,000 daripada suspek.

Polis turut menemui semula beberapa barangan yang dipercayai dicuri termasuklah satu komputer riba, dua pemain cakera padat, tiga kad kredit dan sebuah telefon pintar selain dua pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.

“Barang-barang itu ditemui di rumah suspek utama di Taman Wijaya, Menggatal. Ketika serbuan, kita juga menemui peralatan untuk memecah masuk seperti spanar, pisau, pemotong besi, pencungkil pintu besi dan satu unit pengimpal,” katanya.