Thursday, September 28

PPKS hasrat terus bekal tenaga mahir

0

SEKOLAH ANGKAT: Baharudin (tengah) merakamkan kenangan bersama pengetua-pengetua serta wakil-wakil pengetua program sekolah angkat PPKS.

KUCHING: Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) akan menawarkan dua kursus peringkat sijil iaitu penyelenggaraan pesawat dan pembaharuan tenaga bagi meneruskan usaha menghasilkan tenaga pekerja mahir.

Pengarah Eksekutif PPKS yang juga Ketua Pegawai Eksekutif i-CATS Baharudin Abdullah berkata, tiba masanya kedua-dua kursus tersebut itu diperkenalkan selari dengan hasrat membekalkan tenaga pekerja mahir untuk keperluan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Graduan-graduan PPKS mempunyai peluang cerah untuk memperolehi pekerjaan setelah tamat pengajian kerana mereka akan dipadankan dengan kerja dalam industri yang sesuai dengan pengajian serta latihan,” ujarnya pada majlis penyerahan sumbangan televisyen, pemain cakera padat digital (DVD) dan pemacu pen kepada 22 buah sekolah angkat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman di sini, pagi semalam.

Baharudin berkata, sebuah syarikat perindustrian di Bintulu telah menunjukkan minat untuk mengambil graduan-graduan PPKS bagi mengisi 650 kekosongan pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat (IT), mekanikal dan kejuruteraan elektrik.

“Setakat ini PPKS mempunyai seramai 3,600 pelajar di Kuching, Miri serta Mukah dan kami juga bercadang untuk membuka cawangan keempat di Bintulu,” katanya.

Justeru, Baharudin berharap agar Kementerian Pengajian Tinggi akan mengiktiraf i-CATS kepada status kolej universiti sekali gus menaik taraf kursus-kursus sedia ada kepada peringkat diploma.

Sementara itu, Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Rakayah Madon dalam ucapannya berharap agar program sekolah angkat itu akan memberikan kesan positif kepada kedua-dua pihak dengan pelajar-pelajarnya akan menyambung pengajian di PPKS dan i-CATS.

Majlis tersebut merupakan lanjutan daripada program sekolah angkat di antara PPKS dan sekolah-sekolah menengah dan vokasional di sekitar bahagian Kuching, Samarahan, Betong dan Miri dalam usaha menyalurkan bantuan dalam bentuk kepakaran, kemudahan dan kewangan kepada pelajar sekolah menengah agar lebih terdedah dan cenderung untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal sejurus tamat persekolahan.

Antara sekolah yang terlibat dalam program tersebut ialah Kolej Vokasional Kuching, SM Teknik Sejingkat, SM Vokasional Matang, SMK Matang Jaya, SMK Petra Jaya, SMK Demak Baru, SMK Kota Samarahan, SMK Lake, SM Vokasional Betong, SM Vokasional Miri, SMK Tunku Abdul Rahman, SMK Batu Lintang, SMK Wira Penrissen, SMK Batu Kawa, SMK Sungai Maong, SMK Muara Tuang, SMK Bako, SMK Santubong, SMK Bandar Samariang, SMK Semarah Padi, SMK Serian dan SMK Gedong.