Pusat Telekomunikasi Digi di Lintas Plaza dipecah masuk

0

Anggota polis menunjukkan lubang yang ditebuk di dalam premis berkenaan.

Pemilik premis rugi lebih RM20,000

KOTA KINABALU: Pusat Telekomunikasi Digi berhampiran Lintas Plaza kerugian lebih RM20,000 setelah dipecah masuk sekumpulan penjenayah yang menebuk dinding bersebelahan premis berkenaan.

Difahamkan kejadian hanya disedari oleh pekerja kira-kira jam 7 pagi setelah melihat keadaan premis berselerak dengan peti simpanan wang diselongkar dan lebih memeranjatkan, terdapat kesan tebukan di dinding di situ.

Pemilik premis dikenali sebagai Connie, 30an, ketika ditemui berkata dia hanya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi oleh pekerjanya dan bergegas ke lokasi terbabit.

“Kami tidak beroperasi pada Khamis lepas kerana cuti umum dan apabila salah seorang pekerja tiba pada pagi tadi, dia telah memberitahu premis kami di dalam keadaan berselerak.

“Setelah diperiksa, RM20,000 yang diletakkan di dalam peti besi telah hilang manakala tiga komputer riba dan telefon pintar turut hilang,” katanya sambil menambah, premis itu sedang dalam proses pengubahsuaian sejak dua minggu lepas.

Terdahulu, suspek dipercayai memasuki premis itu menerusi lubang yang ditebuk melalui bilik stor di bawah tangga berhampiran lokasi berkenaan.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata suspek telah berjaya memecah masuk melalui lubang yang ditebuknya bersebelahan premis itu.

“Kita juga tidak menolak kegiatan itu dilakukan lebih dari seorang suspek dan operasi mengesan giat dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.