Site Last Updated 4:08 pm, Thursday

Budaya majmuk ceriakan rumah terbuka Deepavali

Posted on November 19, 2012, Monday

DISAMBUT MERIAH: Najib disambut oleh ribuan pengunjung pelbagai kaum ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia sempena Perayaan Deepavali di Ladang Info Ternak, Sungai Siput di Sungai Siput, semalam. — Gambar Bernama

SUNGAI SIPUT: Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2012 yang berlangsung di Ladang Infoternak di sini disambut meriah dengan pelbagai sisipan budaya masyarakat majmuk di negara ini, khususnya adat dan budaya kaum India.

Lebih 25,000 masyarakat pelbagai lapisan hadir ke majlis anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama kerajaan negeri Perak itu yang bermatlamat memupuk perpaduan antara kaum.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke sambutan itu dengan diiringi Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, barisan menteri kabinet dan pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri.

Pelbagai persembahan kebudayaan diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan, antaranya tarian Selamat Datang oleh kumpulan Vangga Kadal Elai, tarian Kolattam (tarian kayu), persembanhan gendang Cina, persembahan Sitar oleh K. Kumar dan tarian oleh artis kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian.

Paling mencuri tumpuan adalah persembahan kesenian tarian klasik India, balet klasik dan moden oleh ikon budaya Ramli Ibrahim bersama adik Kavinesh yang mempamerkan tarian ‘Bharatanatyam’.

Pada majlis itu, Najib turut melengkapkan replika ‘kolam’ serta menyampaikan replika cek Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM280,000 kepada sekolah rendah dan menengah kawasan Parlimen Sungai Siput dan menyerahkan 100 buah basikal Pixie kepada sembilan persatuan.

Najib turut menyampaikan sumbangan kepada persatuan dan badan bukan kerajaan iaitu Persatuan Akademi Urumi Malaysia, Akademi Kesenian Sebastiar Perak, RT Ladang Dovenby dan Komuniti 1Malaysia Sungai Siput serta beberapa individu cemerlang antaranya Ramli Ibrahim dan budayawan veteran India Sri Santiago.

Pelbagai juadah istimewa dan kuih tradisional turut dihidangkan kepada para hadiri.

Beberapa gerai pameran termasuk Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Khas dan 1Malaysia Development Berhad diadakan bagi memberi maklumat kepada para pengunjung mengenai aktiviti yang dijalankan.

Sungai Siput menjadi lokasi rumah terbuka Deepavali peringkat kebangsaan kali ini berdasarkan populasi kaum India yang tinggi di kawasan tersebut. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.