Ceramah ‘Hak-hak Wanita di Sisi Hukum Syarak Undang-undang Keluarga Islam’

0

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak akan menganjurkan ceramah umum bertajuk ‘Hak-Hak Wanita di Sisi Hukum Syarak Undang-undang Keluarga Islam’ pada 23 November ini di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak.

Penceramah jemputan adalah Arip Ameran yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai peguam syarie di negeri Sarawak.

Beliau yang aktif dalam memberi penerangan berhubung isu-isu berkaitan kekeluargaan Islam dan merupakan seorang penulis jemputan sebuah akhbar bahasa Melayu tempatan bagi kolum Syariah akan mengupas dengan lebih lanjut mengenai hak golongan wanita di Malaysia.

Golongan wanita di Malaysia telah mendapat segala hak utama yang mereka kehendaki dari segi peluang pekerjaan, dalam bidang ekonomi, pemilikan harta, hak bersuara dan sebagainya.

Pendek kata, golongan wanita di Malaysia merupakan golongan yang boleh dianggap ‘istimewa’ berbanding golongan wanita di negara-negara Islam lain.

Menjelang tahun 2020, kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa 30 peratus daripada pembuat dasar kerajaan adalah melibatkan golongan wanita.

Kerajaan juga telah menubuhkan kementerian khusus bagi menjaga hak dan pembangunan wanita di Malaysia.

Selain itu, hak seseorang wanita itu telah ditentukan dengan jelas dalam Undang-undang Keluarga Islam setiap negeri.

Tujuan perundangan ini diwujudkan adalah untuk memberi keadilan kepada kaum wanita supaya mereka mendapat hak sepatutnya dan tidak ditindas.

Di samping itu, ia juga bertujuan membolehkan wanita menuntut hak yang sepatutnya diberi bersandarkan kepada tuntutan hukum syarak.

Orang awam adalah dijemput hadir untuk ceramah ini dan kemasukan adalah percuma.

Untuk keterangan lanjut, hubungi Razak Rambili di talian 082-449126 atau Geneve Belantau Vendrick (082-442000 sambungan: 330) atau e-mel [email protected]/ [email protected].