Kerjasama erat bendung kejadian penculikan: Ismail

0

KOTA KINABALU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meminta polis Sabah agar mengukuhkan lagi kerjasama dengan negara-negara jiran bagi membendung kejadian penculikan antara sempadan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib membuat perkiraan yang perlu untuk meningkatkan usaha kerjasama dengan agensi-agensi asing yang berkaitan bagi meminimumkan risiko kejadian itu.

“Kejadian penculikan pernah berlaku sebelum ini dengan beberapa kes telah direkodkan.

“Apabila saya dimaklumkan tentang kejadian terbaru ini, saya memberitahu Pesuruhjaya Polis Negeri agar tingkatkan kerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan bagi mengukuhkan hubungan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Agensi Polis Bantuan Bersama Pegawai-Pegawai Kanan PDRM (Apac) Kali ke-24 anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini kelmarin.

Ismail yang diminta mengulas mengenai kejadian penculikan yang berlaku di Lahad Datu baru-baru ini menjelaskan pihaknya sentiasa bekerja rapat dengan pasukan keselamatan di negara-negara jiran untuk memberkas penjenayah yang terlibat dan membawa balik mangsa culik dengan selamat.

Katanya, hubungan serta usaha keselamatan antarabangsa yang kukuh akan memberi mesej kepada kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungjawab terbabit bahawa pihak berkuasa di kedua-dua belah pihak sentiasa berwaspada dan komited untuk menjamin keselamatan rakyat mereka.

“Kita tidak mahu elemen yang tidak bertanggungjawab ini meyakinkan pihak berkenaan bahawa mereka boleh mengalahkan kita dan perkara ini tidak akan berlaku.

“Saya memberi jaminan kepada orang ramai, pihak polis memandang perkara ini sangat serius,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar tampil dan berkongsi maklumat dengan polis bagi membantu siasatan.

Ditanya jika mereka mengenal pasti motif di sebalik penculikan itu, beliau berkata kes-kes seperti itu selalunya bermotifkan kewangan.

Sementara itu, Hamza mengesahkan mereka telah mengenal pasti lokasi kedua-dua mangsa dan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tindakan yang sepatutnya.

Pihaknya akan bekerjasama dengan agensi-agensi rakan sejawatan di negara jiran.

Rabu lepas, seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya dilaporkan diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata api dari sebuah ladang di kawasan pedalaman di Lahad Datu.

Ladang berkenaan terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai, bersebelahan tanah rancangan Felda Sahabat 15, kira-kira 50km dari pekan Lahad Datu.

Berdasarkan maklumat pekerja di ladang itu, suspek dipercayai datang dari selatan Filipina.

Walau bagaimanapun, tiada maklumat rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara dalam hal identiti suspek atau mangsa.

Mengulas mengenai kes perjudian atas talian (online) di negeri ini, Ismail berkata menerusi laporan yang disediakan, terdapat pencapaian baik oleh polis Sabah berkaitan kes berkenaan.

“Ada penangkapan dibuat dan ada yang didakwa di mahkamah untuk pelbagai kesalahan judi di Sabah,” jelasnya tanpa mengulas lanjut.