Site Last Updated 2:37 pm, Tuesday

Banjir di Baram kian pulih

by Clare Cinderella. Posted on November 20, 2012, Tuesday

SEMAKIN PULIH: Dennis (kanan) menyapa dan bertanya khabar dengan salah seorang penduduk kampung ketika meninjau kawasan dilanda banjir di Long Bemang, Ulu Baram.

MIRI: Keadaan banjir yang melanda beberapa kawasan di pedalaman Baram semakin pulih dengan paras air mulai menunjukkan tanda-tanda semakin surut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau memberitahu bahawa keadaan banjir yang melanda Baram dijangka pulih sepenuhnya dalam masa sehari atau dua hari lagi.

“Keadaan banjir kini semakin pulih dengan paras air mulai surut di kawasan hulu dan beberapa kawasan yang dilanda banjir termasuk di Long Lama dengan jalan-jalan sudah dapat dilalui kenderaan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Menurut Dennis lagi, di kawasan terjejas banjir, bekalan makanan dan keperluan asas sudah diedarkan dari rumah panjang ke rumah panjang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri.

“Antara yang terjejas teruk sebelum ini ialah Long Bemang dan Long Panai di mana bekalan makanan sudah diedarkan pada minggu lepas.

“Bagaimanapun keadaan banjir di kedua-dua kawasan semakin pulih dan paras air sudah mulai surut berbanding sebelumnya,” jelas Dennis lagi yang baharu kembali dari Ulu Baram.

Sementara itu di pusat pemindahan mangsa banjir di Marudi, Pegawai Daerah Marudi Joseph Belayong mengesahkan hanya ada sebuah keluarga sahaja yang masih belum kembali ke rumah mereka dan menunggu banjir pulih sepenuhnya.

Manakala di pekan Marudi katanya, air semakin surut ekoran keadaan cuaca yang semakin baik di Ulu Baram.

Dalam perkembangan yang sama di sini, Residen Miri Antonio Khati Galis memberitahu, Bilik Gerakan Bahagian Miri sudah diaktifkan sejak 5 November lalu untuk persiapan menghadapi sebarang kemungkinan banjir yang berlaku di bahagian ini.

Bagaimanapun menurut Antonio, sehingga semalam, belum ada aduan mengenai masalah banjir dilaporkan berlaku di Miri, Bekenu dan kawasan kerap banjir di Niah.

“Sehingga kini keadaan masih terkawal di sini, bagaimana pun Bilik Gerakan sudah diaktifkan untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir di sini, Bekenu dan Niah, walaupun di Baram keadaan banjir semakin pulih,” katanya sambil merujuk kepada kawasan di Tutoh-Apoh yang kian pulih daripada dilanda banjir.

Manakala di Niah, bilik gerakannya sudah diaktifkan dan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Saya sudah mengarahkan semua kakitangan agensi-agensi berkaitan terutama polis, anggota bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam keadaan berjaga-jaga,” tambahnya.

Bagaimanapun Antonio menasihati penduduk di kawasan kerap banjir supaya sentiasa berwaspada kerana keadaan cuaca masih lagi belum menentu.

“Sentiasa awasi aktiviti anak-anak terutama pada musim hujan ini bagi mengelak kejadian tidak diingini,” jelasnya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.