Jacob hulur sumbangan kepada mangsa kebakaran

0

MARUDI: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan melawat mangsa kebakaran di Rumah Henry Gomes di Hulu Teru, baru-baru ini dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM85,000 untuk mangsa terbabit.

Sumbangan itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana setiap keluarga diperuntukkan bantuan wang tunai berjumlah RM2,500 masing-masingnya.

Jumlah itu merangkumi bantuan untuk pakaian seragam dan peralatan persekolahan untuk anak-anak mereka.

Sementara itu, Jacob yang juga Ahli Parlimen Baram menasihatkan mangsa  supaya memanfaatkan bantuan tersebut untuk keperluan mereka dengan sebaiknya termasuk membeli perkakas untuk membina rumah baharu kelak.

Beliau memberitahu mangsa supaya sentiasa bekerjasama dalam mengatasi dan menyelesaikan masalah yang dialami mereka, khasnya dalam usaha mencari dana untuk membina rumah panjang yang baharu.

Dalam pada itu, Jacob juga berjanji akan memberikan sebuah tangki air kepada setiap keluarga mangsa bagi mengatasi masalah bekalan air yang diperlukan setiap hari.

Turut serta dalam lawatan itu Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyie, Pengerusi SPDP Bahagian Marudi yang juga ahli Majlis Tertinggi SPDP, Alexander Asing John Sadai dan wakil JKM Bahagian Miri.

Sementara itu, Tuai Rumah (TR) Henry Gomes melahirkan rasa terima kasih kepada Jacob dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana telah membantu dan memberikan sumbangan kepada mereka.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan anak-anak buahnya supaya menghargai jasa kerajaan dengan memberi sokongan sepatutnya kepada wakil rakyat mereka dan kerajaan BN.