SK St Anne, Sarikei sekolah terbaik di S’wak

0

 

CEMERLANG: Antara 54 murid SK St Anne, Sarikei yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR kali ini.

KUCHING: Sekolah Kebangsaan (SK) St Anne, Sarikei muncul sekolah terbaik di negeri ini apabila mencatat bilangan calon yang paling ramai mendapat A dalam semua pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pengarah Pelajaran Negeri Abdillah Adam berkata, daripada 162 calon yang menduduki UPSR di sekolah berkenaan, 54 daripadanya mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Menurutnya, Sekolah Kebangsaan (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan di kedudukan kedua dengan 44 daripada 190 calon mendapat keputusan 5A atau 7A.

“Pencapaian ini menunjukkan pencapaian calon yang mendapat keputusan cemerlang (A dalam semua mata pelajaran) semakin meningkat.

“Saya berharap trend seperti ini akan terus meningkat pada masa akan datang,” katanya ketika mengumumkan Keputusan UPSR Peringkat Negeri semalam.

Beliau menjelaskan, daripada 10 sekolah terbaik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS) yang mempunyai bilangan murid melebihi 50 calon, Sekolah Kebangsaan Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Bintulu mencatat GPS 1.38.

Dalam pada itu, Abdillah menasihati pihak sekolah, calon dan ibu bapa agar memohon semak semula dalam tempoh 30 hari selepas tarikh pengumuman keputusan dan dihantar terus kepada Lembaga Peperiksaan.

“Permohonan semak semula yang diterima selepas 19 Disember tidak akan dipertimbangkan,” ujarnya.

Sementara itu, tinjuan Utusan Borneo di SK St Anne, Sarikei mendapati rata-rata ibu bapa yang anak mereka mendapat keputusan cemerlang melahirkan rasa gembira dan bangga dengan komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh pihak sekolah terbabit.