Tragedi 9/11 bencana terburuk akibat perbuatan Manusia, kata Dr Mahathir

0

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan kesan serangan 9/11 terhadap Amerika dan menyifatkannya sebagai bencana terburuk akibat perbuatan manusia sejak Perang Dunia yang lepas berakhir.

Beliau berkata peristiwa 9/11 mengakibatkan kematian ratusan ribu rakyat Iraq dan Afghanistan serta beberapa ribu tentera Amerika dan British, selain kemusnahan dunia negara Islam itu.

“Ia telah membahagikan dunia kepada Islam dan bukan Islam, serta menabur benih syak wasangka dan kebencian di antara mereka,” katanya sambil menambah peristiwa itu turut menjejas keselamatan negara di dunia sehingga terpaksa membelanjakan bertrilion dolar untuk langkah keselamatan.

“Namun, ancaman tetap kekal, bukan hanya daripada mereka yang digelar pengganas, malah dari negara berkuasa serta kempen mereka untuk mengubah dunia,” katanya ketika berucap pada persidangan antarabangsa berkaitan ‘9/11 Revisited – Seeking the Truth’ di sini Isnin.

Negarawan Malaysia itu juga berkata adalah penting untuk mencari kebenaran di sebalik tragedi 9/11 “kerana apabila kebenaran didedahkan, barulah kita benar-benar bersedia untuk melindungi diri dan keselamatan kita.” –Bernama