Gaya hidup moden harus diimbangi nilai-nilai moral

0

SIBU: Gaya hidup moden harus diimbangi dengan nilai-nilai moral, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Abu Seman Jahwie.

Menurutnya, ini penting bagi membolehkan masyarakat membuat resolusi pada tahun baharu yang berfungsi seperti kompas untuk membimbing mereka ke arah kebaikan dalam kehidupan.

Sebagai contoh, jelasnya, mereka yang bekerja jauh dari ibu bapa harus melawat ibu bapa mereka supaya mereka tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai anak untuk menjenguk orang tua.

Abu Seman yang merupakan Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata demikian semasa melawat seorang warga emas yang sakit di Kampung Trang, Matu, dekat sini sempena sambutan Maal Hijrah 1434H baru-baru ini.

Turut menemani beliau ialah Ketua Kaum Bagus Rail.

“Kita mesti menjadikan ia satu titik untuk tampil dengan resolusi pada tahun baharu ini danbergerak ke hadapan supaya kita boleh berjaya dalam apa jua usaha kita.

“Kita perlu mengubah gaya hidup kita sendiri dengan lebih baik seperti menjenguk ibu bapa walaupun kita bekerja di kota.

“Dengan cara itu, ibu bapa kita akan dapat merasakan diri mereka dihargai serta disayangi sekali gus tidak membuat mereka bimbang semasa kita berada jauh dari mereka,” katanya sambil menambah, lawatan itu adalah sebahagian daripada rutin hariannya untuk menjaga kebajikan pengundi di kawasannya.

Semasa lawatan itu, Abu Seman turut menyampaikan sedikit sumbangan untuk membantu meringankan beban warga emas terbabit.

Beliau menegaskan generasi muda perlu dididik untuk belajar menghargai ibu bapa mereka dan nilai-nilai itu harus diterap dalam setiap masyarakat.

Sehubungan itu, Abu Seman menyeru masyarakat kampung yang bekerja di kota agar tidak terlalu mengikut gaya hidup moden kerana bimbang nilai-nilai moral akan runtuh seandainya tidak bijak menguruskan kehidupan.