Program Pembangunan Insaniah Belia Islam di Sarikei pada 9 hingga 11 Disember

0

BETONG: Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Sarawak, Pejabat Pembangunan Sosial (PPS) Bahagian Betong dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Bahagian Betong akan menganjurkan Program Pembangunan Insaniah Belia Islam di Kompleks Asrama Belia, Sarikei dari 9 hingga 11 Disember depan.

Menurut Pegawai Penguasa PPS Bahagian Betong, Awang Mazelan Awang Majid, program tersebut bertemakan ‘Belia Islam Berwawasan Asas Pembangunan Negara’ dan pihak penganjur mempelawa penyertaan belia dan masyarakat Islam di Bahagian Betong yang berumur 15 hingga 40 tahun.

Katanya, program tersebut bertujuan untuk mewujudkan persefahaman di kalangan golongan belia supaya mereka dapat mengenali antara satu sama lain serta memperkukuhkan perpaduan dan ikatan silaturrahim masyarakat setempat.

Tambah beliau, penyertaan belia dialu-alukan dengan penganjur hanya memperuntukkan tempat untuk 50 peserta sahaja.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hamsawi Mohd Madeka menerusi talian 083-472872 atau 014-5854867.