Skuad futsal adakan sesi pemilihan pemain Sukma

0

KUCHING: Skuad futsal akan mengadakan sesi pemilihan pemain bagi mewakili Sarawak di Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

Ia akan diadakan dalam beberapa fasa dengan dimulakan di Kuching pada 24-25 November ini bagi lelaki dan 8-9 Disember bagi wanita.

Lokasi-lokasi seterusnya adalah di Lawas (14-15 Disember), Miri (16-17 Disember), Mukah (27-28 Disember), Sibu (29-30 Disember), Kapit (11-12 Januari 2013), Sarikei (13-14 Januari), Bintulu (19-20 Januari), Sri Aman (25-26 Januari) dan Betong (27-28 Januari).

Menurut Ketua Jurulatih Mohammad Mantali, sesi pemilihan di Kuching akan diadakan di gelanggang futsal Pusat Rekreasi Bersepadu Kuching (KIRC).

Pendaftaran bermula pada jam 8.30 pagi bertempat di Dewan Suarah Kuching.

“Kami hanya mencari pemain yang berkaliber dan berkemahiran tinggi bagi menggalas cabaran negeri pada Sukma tahun hadapan,” jelas Mentali semalam.

“Pemain-pemain yang berminat mestilah berumur 21 tahun ke bawah. Mereka yang berminat dinasihat agar datang awal pada hari tersebut.”

Setiap pemain akan melalui beberapa ujian merangkumi kemahiran dan ketahanan semasa sesi pemilihan tersebut, tambah Mantali lagi.

Sementara itu, Mantali yakin skuad futsal mampu memperbaiki pencapaian mereka dan merangkul pingat emas pada edisi akan datang. Pada edisi 2011, Sarawak sekadar merangkul pingat gangsa.