K’jaan tiada rancangan bina loji minyak kelapa sawit khas untuk pekebun kecil

0

KUCHING: Kerajaan tidak merancang membina loji pemprosesan minyak kelapa sawit khas digunakan oleh pekebun-pekebun kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin dan Telang Usan.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Gramong Juna berkata, adalah tidak praktikal untuk membina kilang pemprosesan minyak kelapa sawit untuk pekebun-pekebun kecil memandangkan ladang mereka berada dalam lokasi yang berselerak di seluruh negeri.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Tamin (Joseph Mauh) dan Telang Usan (Dennis Ngau) kerajaan tidak berhasrat terlibat secara langsung dalam pembangunan industri kelapa sawit.

“Dasar kita ialah menggalakkan sektor swasta terlibat aktif dalam industri ini,” jelasnya pada sesi soal jawab Persidangan DUN semalam.

Menurut beliau, ketika ini kilang pemprosesan kelapa sawit sedia ada di Tamin berkapasiti 180,000 tan metrik tandan buah segar (FFB) setahun.

Bagaimanapun katanya, menyedari kekurangan kapasiti pemprosesan, kerajaan menerusi Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) telah meluluskan permohonan membina kilang pemprosesan yang baharu di Tamin tahun ini yang mempunyai kapasiti pemprosesan 330,000 tan metrik FFB setahun.

Kilang baharu itu tambahnya, dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2014 dan dipercayai dapat menampung keperluan pekebun-pekebun kecil di kawasan berkenaan.

“Bagi makluman Yang Berhormat Telang Usan, MPOB telah meluluskan satu permohonan untuk membina kilang pemprosesan kelapa sawit di daerah Baram dengan kapasiti pemprosesan 240,000 tan metrik FFB setahun… kilang ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2014.

“Ketika ini, sudah ada satu kilang beroperasi di daerah Baram dengan kapasiti pemprosesan 170,000 tan metrik FFB setahun.

“Gabungan kapasiti pemprosesan 410,000 tan metrik setahun daripada kedua-dua kilang ini nanti dijangka mencukupi menampung keperluan pekebun-pekebun kecil di Baram,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, pada 2011 Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) telah membayar dividen berjumlah RM121,795 bagi kawasan Ulu Krian, RM70,149 (Babang) dan RM332,769 (Awik).

Menurutnya, pokok-pokok kelapa sawit di ketiga-tiga kawasan itu telah ditanam pada 1993 hingga 1996, bermakna pokok-pokok kelapa sawit di situ mempunyai jangka hayat produktif selama enam hingga sembilan tahun lagi.

“Kemampuan sesebuah estet membayar pinjaman adalah bergantung kepada pencapaian estet dan harga masa hadapan produk kelapa sawit.

“Sehubungan itu, SALCRA akan memastikan supaya bukan hanya pinjaman sahaja dapat diselesaikan pada penghujung tempoh selama 25 tahun akan datang malah pemilik tanah akan terus menerima dividen,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan dikemukakan Ali Biju (PKR-Krian).