Liow: Sukarelawan COMBI jelaskan bahaya penyakit tidak berjangkit

0

NIBONG TEBAL: Berikutan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan obesiti di kalangan penduduk negara ini, Kementerian Kesihatan akan menggiatkan usaha untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai amalan hidup sihat.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata untuk tujuan itu, kementerian akan menggerakkan 2,255 sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) di seluruh negara untuk memberi kesedaran kepada komuniti mengenai amalan hidup sihat.

“Langkah itu dilihat mampu memberikan impak yang lebih berkesan berikutan pasukan Combi lebih dekat dengan komuniti dan saya percaya usaha kementerian untuk memerangi penyakit tak berjangkit pada tahun depan akan mencapai matlamatnya.

“Selain itu, kita juga akan tambah pasukan Combi di peringkat kampung, taman dan bandar. Kesemua mereka akan diberikan pelbagai kemudahan dan bantuan agar aktiviti untuk memerangi penyakit itu dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Eskpo Aspirasi Sihat di Padang Awam Jawi, di sini semalam.

Beliau berkata ramai di kalangan masyarakat yang tahu akan bahaya penyakit tidak berjangkit tetapi masih enggan mengamalkan cara hidup sihat sehingga menyebabkan mereka menghidap penyakit berkenaan.

“Kita memandang serius hal itu berikutan peningkatan trend penyakit terbabit seperti kencing manis, obesiti dan darah tinggi yang dilihat semakin meningkat setiap tahun,” katanya

Katanya berdasarkan statistik kementerian, kadar penghidap kencing manis meningkat daripada 11 peratus pada 2006 kepada 15.1 peratus tahun lalu, begitu juga dengan kolestrol daripada 20.7 peratus kepada 35.5 peratus dan darah tinggi daripada 32.2 peratus kepada 32.7 peratus bagi tempoh yang sama.

Sementara itu, Liow berkata kementerian merancang untuk menaik taraf Hospital Sungai Bakap (HSB) berikutan bangunan itu telah berusia lebih 100 tahun dan tidak lagi sesuai untuk menampung keperluan pesakit.

Bagaimanapun, katanya ia hanya akan dilaksanakan selepas kerja menaik taraf Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) siap. — Bernama