UMK ambil 100 lagi tenaga pengajar luar negara tahun depan

0

KOTA BAHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bercadang menambah 100 lagi tenaga pengajar, termasuk dari luar negara, bagi menampung keperluan petugas akademik dalam pelbagai bidang kepakaran masing-masing tahun depan.

Naib Canselor UMK Prof Datuk Raduan Che Rose berkata penambahan petugas akademik di universiti itu selaras dengan usaha untuk menaik taraf universiti berkonsepkan keusahawanan itu ke peringkat gbobal.

Selain itu, katanya UMK telah menghantar 103 tenaga pengajar ke luar negara untuk mendalami bidang akademik masing-masing bagi melahirkan pelajar mempunyai modal insan yang berkualiti dalam bidang keusahawanan.

“Ketika ini kita mempunyai 236 tenaga pengajar di tiga kampus cawangan, termasuk kampus induk di Tangok, Bachok yang mula beroperasi baru-baru ini, selain kampus Jeli dan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMK yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pada majlis itu, Hamad Kama Piah turut menyampaikan anugerah kepada lebih 70 penerima anugerah bagi empat kategori, iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Gemilang UMK, Anugerah Jasa Bakti (11) dan Anugerah Kualiti Naib Canselor.

Raduan berkata tahun depan, UMK mempunyai lebih 3,000 pelajar bagi memenuhi sasaran untuk mencapai 12,000 pelajar pada setiap pusingan sehingga 2015.

Pada masa sama, katanya UMK sedang berusaha ke arah mengantarabangsakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama berteraskan keusahawanan di negara ini. — Bernama

“Ini selaras dengan usaha kita menarik lebih ramai pelajar asing melanjutkan pelajaran di universiti dalam bidang tersebut,” katanya sambil menegaskan UMK kini memperkenalkan 17 program akademik di tiga kampusnya di Kelantan, termasuk di peringkat doktor falsafah (PhD).

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata UMK akan memperkenalkan anugerah kepada badan-badan korporat yang terlibat dalam industri keusahawanan bagi menggalakkan industri keusahawanan berkembang pesat di negara ini.

Beliau juga mahu universiti itu menerbitkan sendiri majalah keusahawanan secara lebih mendalam untuk dipasarkan ke luar negara dalam usaha menarik bidang keusahawan di peringkat global. — Bernama