Chin tidak tolak kemungkinan PRU13 pada Dis

0

BERBINCANG: Chin (tengah) berbincang sesuatu dengan Richard (kiri) sambil diperhatikan oleh Dr Sim selepas mesyuarat CWC di Ibu Pejabat SUPP di Kuching semalam.

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) boleh diadakan pada Disember depan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berhubung perkara itu sehingga pengumuman oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Satu daripada sebab mengapa kami sangat memberi tumpuan kepada persediaan pilihan raya pada mesyuarat CWC hari ini adalah untuk memastikan parti bersedia menghadapi PUR13 pada bila-bila masa.

“Saya berani menyatakan di sini bahawa semua kawasan pilihan raya SUPP bekerja dengan keras sama ada Bandar Kuching atau lain-lain.

“Jika PRU13 diadakan pada bulan depan (Disember), kami mahu menjadi yakin sepenuhnya. Sebab itulah arahan pada mesyuarat hari ini untuk memastikan semua kawasan pilihan raya SUPP bersedia sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat CWC di ibu pejabat parti di sini semalam.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Timbalannya Datuk Richard Riot, Setiausaha Agung Prof Dr Sim Hui Kian serta jawatankuasa-jawatankuasa tertinggi CWC yang lain.

Mengulas mengenai mesyuarat itu, Chin yang juga Ahli Parlimen Miri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata ia menjurus kepada perbincangan mengenai pilihan raya dan bagaimana untuk menyatukan semua cawangan yang terlibat dengan pilihan raya seperti Bandar Kuching, Pending, Stampin, Kota Sentosa, Batu Kawah, Batu Lintang dan lain-lain.

“Kami membincangkan mengenai peranan mereka, bagaimana untuk mempergiatkan usaha persediaan pilihan raya memandangkan masa semakin singkat,” katanya.

Antara lain, mesyuarat CWC semalam turut membincangkan mengenai sebahagian daripada ahli-ahli SUPP yang belum mendaftar sebagai pengundi di kawasan pilihan raya SUPP.

“Perkara ini juga adalah sebahagian daripada persediaan pilihan raya parti untuk mendapatkan sebanyak mungkin ahli-ahli yang belum mendaftar untuk didaftarkan sebagai pengundi.

“Kami difahamkan daripada ibu pejabat BN, jika mereka ini didaftarkan dalam bulan Disember ini mereka mungkin boleh menjadi pengundi,” katanya sambil menambah semua cawangan pilihan raya telah diarahkan untuk menganjurkan aktiviti festival menjelang musim perayaan pada Disember, Januari dan Februari bagi mendekati pengundi.