Pelumba Brunei tawan trek Siol X-Treme Mountain Bike

0

TAHNIAH: Fadillah menyampaikan hadiah kepada Nurjamri yang menjuarai XC Lelaki Terbuka Kejohanan Siol X-Treme Mountain Bike 2012 di Kuching, semalam.

KUCHING: Pelumba handalan Brunei, Muhammad Nurjamri Johari tidak berdepan masalah untuk muncul juara kategori utama, XC Lelaki Terbuka Kejohanan Siol X-Treme Mountain Bike 2012 di kaki Bukit Siol di sini semalam.

Meskipun trek berkenaan agak asing bagi Nurjamri, namun berbekal persiapan rapi pelumba yang menggunakan basikal bernombor 26 itu tetap unggul mengalahkan pencabar hebat lain.

Tempat kedua untuk kategori utama itu dimenangi Shahril Aizat dari Selangor MPBJ Polygon dan Sylvester Ding (3GX) hanya berpuas hati menduduki tempat ketiga.

Bercakap kepada pemberita selepas memenangi perlumbaan itu, Nurjamri berkata keadaan trek yang becak memang memberi cabaran yang getir kepada semua pelumba.

“Namun, saya bersyukur kerana berjaya memenangi perlumbaan ini walaupun tidak biasa dengan trek terbabit,” katanya.

Seperti diramal pelumba yang pernah beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA), Junaidah Juss yang mewakili Arus Polygon/MSN Sarawak tidak berdepan masalah untuk mengungguli kategori XC Wanita.

Tempat kedua untuk kategori itu disandang Carolline George dari USPTN dan tempat ketiga dimenangi rakan sepasukannya, Carleen Wang.

Abdul Shakur dari Selangor pula mengungguli kategori bawah 18 tahun XC sekali gus menewaskan Awang Adi Awang Sufian (Saxon) di tempat kedua dan Gary Tay (3GX) tempat ketiga.

Katgeori XC lelaki Veteran 40 tahun ke atas menyaksikan Supian Nor dinobatkan sebagai pemenang diikuti Ezamshah Abdul Rahman tempat kedua dan Dominic Vun di tempat ketiga.

Keunggulan pelumba Selangor MBPJ Polygon sekali lagi terserlah apabila Sharel Aizat Nazali muncul juara meninggalkan Glory Chai di tempat kedua dan tempat ketiga diraih Muhamad Syafiq Subian.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata Petra Jaya mempunyai potensi untuk dijadikan ‘bandar berbasikal’ dengan perancangan membina lebih banyak lorong basikal di kawasan terbabit.

“Selain cabaran basikal bukit di Bukit Siol, kita mahu kawasan ini dibangunkan persekitaran yang mesra alam. Kita akan berusaha untuk membangunkan teknologi hijau di bandar ini,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Belia dan Perumahan merangkap Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (PBS) Abdul Karim Rahman Hamzah dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Wahap Abang Julai.

Kejohanan dua hari itu disertai kira-kira 150 peserta dari Sarawak, Brunei, Kalimantan dan Semenanjung Malaysia.