Rakyat sudah matang menilai kemampuan k’jaan

1

DIBANTU: Hasbi (enam kiri) serta (dari kiri) Suhandi, Maria dan Montogomary bersama penerima Program Titik Sentuhan ‘Singgahlok Sarawakfm’ di Limbang, semalam.

BN terbukti banyak membawa kebaikan dan pembangunan berterusan kepada rakyat: Hasbi
LIMBANG: Masyarakat Limbang kini sudah matang untuk menilai keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib dan masa depan negara daripada dihancurkan oleh pihak dan kumpulan berkepentingan yang hanya  muncul menjelang musim pilihan raya.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata sudah tiba masanya untuk rakyat tidak menoleh ke belakang lagi dengan menyesali kesilapan lalu jika terus salah memilih kerajaan.

Jelasnya, kerajaan BN yang ada sekarang terbukti banyak membawa kebaikan dan pembangunan berterusan kepada rakyat dengan menyaksikan pelbagai perubahan yang berlaku berbanding dahulu.

“Jangan sesekali kita menghancurkan masa depan dengan kesilapan memilih kerajaan.

“BN sudah terbukti banyak membawa kebaikan untuk terus membela nasib rakyat di daerah ini,” katanya pada program ‘Singgahlok’ Sarawakfm, di sini semalam.

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Maria Hasman, wakil Pegawai Daerah Limbang Suhandi Tugiman dan Ketua Penolong Pengarah Seksyen Radio, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak Montogomary Montahar.

Hasbi berkata menjelang pilihan raya, ramai kumpulan berkepentingan yang aktif menghasut pemikiran rakyat dengan memainkan isu sensitif dan agama.

Justeru katanya, mereka mempunyai agenda tertentu agar rakyat menolak kerajaan sehingga terdesak memainkan isu-isu yang memburuk-burukkan kerajaan.

Beliau yakin rakyat di sini sudah matang dan tahu menilai ‘kaca dan permata’ agar tidak memperjudi masa depan negara menjelang pilihan raya nanti.

“Kita tidak mahu hanya kerana hasutan pembangkang dan isu-isu kecil yang remeh-temeh mereka sanggup memperjudi dan menghancurkan masa depan negara pada pilihan raya nanti.

“Oleh itu, kita perlu sedar hanya kerajaan BN yang ada sekarang mampu meneruskan kesinambungan pembangunan dan membela nasib rakyat secara keseluruhannya,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai program ‘Singgahlok Sarawakfm’, Hasbi berkata: “Ini merupakan platform terbaik untuk bertemu, beramah mesra dan mengetahui permasalahan masyarakat setempat selain mencari rezeki bagi para peniaga.”

Beliau berkata program yang melibatkan media seperti radio mampu memberi kesan baik, kuat dan jelas dalam penyebaran maklumat dan agenda pembangunan kerajaan.

Pelbagai pengisian juga dirangka pihak RTM untuk menyalurkan maklumat pembangunan, pendidikan, kesihatan untuk dikongsi bersama.

“Dari sudut lain, program ini merupakan ruang terbaik untuk rakyat bersama pemimpin dan jabatan kerajaan lain dalam mewujudkan kemesraan antara rakyat dan pemimpin.

“Peranan RTM jelas sebagai penyalur maklumat, isu dan kempen kerajaan sekali gus sebagai medium penghubung antara pemimpin dan masyarakat dan agensi kerajaan lain,” ujarnya.

Beliau menjelaskan ini bersesuaian dengan agenda RTM itu sendiri yang sentiasa berusaha berdamping dengan masyarakat baik di bandar mahupun luar bandar.