SRS berjaya membantu mengurangkan kadar jenayah di Sibu

0

SIBU: Program Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah kendalian Rukun Tetangga banyak memainkan peranan membantu mengurangkan kadar jenayah di Sibu Jaya.

Perkara itu diakui Ketua Balai Polis Sibu Jaya, Cif Inspektor Wan Mazlan memberitahu bahawa SRS berjaya membantu polis menyalur maklumat dengan memberi maklumat sosiokomuniti setempat seperti jumlah penduduk dan juga masalah sosial.

Selain itu, katanya, SRS turut menjadi sumber utama dalam mendapatkan perkembangan jenayah yang berlaku dari semasa ke semasa.

“Anggota SRS adalah individu paling sesuai mendapatkan maklumat khususnya yang berkaitan dengan sesuatu kejadian jenayah.

“Ini kerana mereka merupakan kumpulan individu yang paling hampir dengan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Begitupun, masih ramai yang tidak sanggup menyertai program berkenaan apatah lagi dilaksanakan secara sukarela.

Menurut Wan Mazlan, beliau percaya masih ramai penduduk Sibu Jaya yang masih bersikap mementingkan diri sendiri selain menyerahkan sepenuhnya keselamatan mereka kepada pihak polis.

“Golongan muda contohnya, kita fikir tiada seorang pun yang menyertai program berkenaan. Mereka lebih suka duduk berkumpulan sambil melepak sehingga tengah malam,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Wan Mazlan turut memuji kesungguhan anggota Ikatan Relawan rakyat Malaysia (RELA) yang terlibat dalam aktiviti rondaan di Sibu Jaya.

“Antara kes jenayah yang menampakkan penurunan ialah curi motosikal dan juga pecah rumah,” katanya.