Dua premis perniagaan bangunan baharu milik PELITA di Merapok bakal beroperasi

0

LAWAS: Dua premis bangunan perniagaan baharu milik Lembaga Pembangunan dan Perlindungan Tanah (PELITA) di daerah Merapok di sini bakal beroperasi apabila PELITA menyerahkan sepenuhnya pentadbiran dan pengurusan premis itu kepada Majlis Daerah Lawas dan Pejabat Daerah Lawas, Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agung berkata proses penyerahan kepada Majlis Daerah Lawas dan Pejabat Daerah Lawas itu akan membolehkan premis itu dapat beroperasi secepat mungkin selain mengelak projek menjadi ‘gajah putih’.

“Ini menunjukkan usaha murni Pengurus Besar PELITA yang turun padang menyelesaikan sendiri masalah berhubung status projek milik PELITA di Lawas.

“Malah PELITA amat komited untuk menyelesaikan masalah rakyat yang sekian lama terbengkalai dan hampir sahaja menjadi projek ‘gajah putih’ tetapi atas inisiatif Pengurus Besar PELITA yang baharu ini membolehkan kemudahan dibina dapat digunakan sepenuhnya oleh rakyat di Lawas,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Merapok kelmarin.

Turut sama Pengurus Besar PELITA, Datu Dr. Sulaiman Hussain dan Pegawai Daerah Lawas merangkap Pengerusi Majlis Daerah Lawas, Mohd Supaih Hamdan.

Henry optimis dengan beroperasinya premis tersebut dapat memacu ekonomi penduduk setempat khususnya penduduk di Merapok Lawas, sekali gus menganjakkan ekonomi kawasan yang berdekatan sempadan Lawas dan Sabah itu.

Premis itu menempatkan empat lot gerai makan dan minum serta beberapa lot ruang menjual ikan serta produk barang basah di pasar basah milik PELITA di Merapok.

Sementara itu, Mohd Supaih berkata dua premis yang diserahkan oleh pihak PELITA akan diurus dengan baik dan mengikut prosedur yang tidak menyulitkan rakyat sebelum disewakan kepada peniaga kecil di kawasan Merapok.