Kerajaan akan membantu pekerja Sanmina-SCI yang diberhentikan

0

KUCHING: Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga telah mengatur perjumpaan bersama wakil pekerja Sanmina-SCI Corporation (M) Sdn Bhd (Sanmina-SCI) yang diberhentikan bagi mendapatkan maklumat ahli keluarga yang terjejas.

Menterinya, Datuk Fatimah Abdullah berkata usaha itu adalah bagi membantu penetapan bantuan jenis ‘one-off’ (bantuan sekolah dan tabung bantuan segera) kepada mereka yang layak.

“Sepanjang tempoh ini, mereka yang terjejas masih memerlukan wang bagi makanan dan menjalani kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya selepas maklumat yang diperlukan diperolehi kementeriannya akan mengagihkan bantuan kepada 800 keluarga yang terjejas itu.

Kementerian akan cuba mengagihkan bantuan seawal bulan Disember depan, jelasnya.

Menurut beliau, jumlah bantuan yang akan diagihkan mengambil kira bilangan anak dan sekiranya pasangan mereka mempunyai pekerjaan.

“Kita akan menyediakan bantuan untuk anak mereka yang masih bersekolah melalui bayaran bantuan ‘one-off’ bagi mengurangkan beban keluarga kerana kita tidak mahu anak-anak ini tercicir dari sekolah disebabkan masalah yang dihadapi oleh ibu bapa mereka,” katanya

Fatimah turut menyatakan bahawa kementeriannya akan berusaha mencari jalan bersama Jabatan Pelajaran jika bantuan persekolahan anak-anak mereka yang terjejas boleh dijalankan dalam tempoh jangka panjang.

Katanya bantuan itu akan diagihkan kepada keluarga yang terjejas melalui Bantuan Sekolah dan Tabung Bantuan Segera.

Sementara itu, ketika memberi ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, Fatimah memberitahu bahawa kementeriannya dalam usaha transformasi penambahbaikan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Melalui pejabat satelit kita, Jabatan Kebajikan Malaysia Negeri Sarawak (JKMNS) meluaskan capaian kepada 50,555 sehingga 31 Oktober lepas berbanding 43,543 pada 2011,” katanya.

Kerjasama bersama agensi lain turut membantu dalam kejayaan JKMNS melaksanakan aktiviti kebajikan, ujar Fatimah.

Sebagai penghargaan, JKMNS menyerahkan geran sebanyak RM1.5 juta kepada 48 organisasi aktif itu.

Pada masa yang sama, sembilan insitusi kebajikan JKMNS turut menjalani pemantapan perkhidmatan termasuk Sekolah Tunas Bakti Kuching.

“Sekolah Tunas Bakti diberi penekanan khusus kepada peningkatan ilmu dan kemahiran di kalangan pelatih.

“Tahun ini 27 yang telah menamatkan kursus bidang pertanian, automatif, elektrik dan pertukangan kayu daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran JPK dan merupakan penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1, kumpulan pertama bagi 63 insitusi kebajikan seluruh negara,” jelasnya.

Menyentuh bantuan bencana alam, Fatimah berkata pihaknya telah menyediakan 85 pangkalan hadapan di kawasan-kawasan mudah banjir sebagai tempat penyimpanan stok makanan.

Pusat pemindahan banjir sebanyak 634 buah tahun ini dijangka dapat menempatkan sekurang-kurangnya 218,000 mangsa banjir.

Fatimah turut mengumumkan kementeriannya akan membina dua pusat Anjung Kasih dengan anggaran RM1 juta setiap satu.

Anjung Kasih menyediakan tempat penginapan sementara bagi ahli keluarga mereka yang dimasukkan ke wad hospital kerajaan dari tempat yang jauh.

Bagi capaian dan bantuan kepada golongan OKU secara sistematik, terdapat 38 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) termasuk lima terbaharu iaitu

PDK Agape, Sibu, PDK Song, PDK Sinar 1M Samariang, PDK Lawas dan PDK Dalat.