Kerajaan komited imbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar

0

1MALAYSIA: Kehadiran masyarakat Orang Ulu turut disambut baik Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

KUCHING: Dengan pertumbuhan pembangunan yang begitu pesat di Sarawak, khasnya dengan pembangunan SCORE, kerajaan negeri komited untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata bagi mengurangkan impak pembangunan terhadap alam sekitar dan komuniti yang terbabit, kerajaan memberi penekanan kepada proses kajian Impak Alam Sekitar (EIA) mengikut Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1993 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jelas beliau, pemaju projek dikehendaki menyediakan laporan EIA dan Detailed EIA (DEIA) untuk kelulusan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum projek dilaksanakan.

“EIA merupakan satu amalan yang telah diterima pakai di peringkat antarabangsa.

“Melalui proses EIA ini, juruperunding alam sekitar dikehendaki mencadangkan langkah-langkah yang bersesuaian bagi menangani segala isu dan masalah alam sekitar yang dijangka timbul.

“Proses EIA ini telah terbukti berjaya menangani banyak isu alam sekitar dan pemaju projek diwajibkan untuk mematuhi setiap langkah kawalan pencemaran dan pemantauan kualiti alam sekitar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam sambil menambah dari Januari 2009 hingga 31 Oktober 2012, daripada 493 laporan EIA yang diterima oleh NREB, sebanyak 417 laporan telah diluluskan.

Bagi pelaksanaan projek mega dan perindustrian seperti pembinaan empangan hidro dan projek industri berat di Samalaju, Awang Tengah berkata kerajaan juga telah mewajibkan Kajian Impak Alam Sekitar dan Sosial (SEIA) dan DEIA dijalankan  yang memberi penekanan kepada kajian sosial secara mendalam dan menyeluruh.

Katanya laporan SEIA dan DEIA adalah dokumen yang komprehensif yang berupaya memberi maklumat berkenaan dengan cadangan projek, jangkaan impak serta langkah-langkah alternatif yang boleh diambil dalam pelaksanaan projek.

Justeru, bagi mengukuhkan pematuhan terhadap syarat-syarat kelulusan EIA, beliau berkata kerajaan akan melaksanakan Audit Alam Sekitar pada 2013.

Namun demikian, Menteri Kemudahan Awam merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian itu menegaskan bahawa tugas bagi melindungi serta menguruskan alam sekitar dan sumber asli bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi turut melibatkan semua pihak yang berkepentingan termasuk lapisan masyarakat.