Wednesday, May 12

Lelaki warga asing dicekup bawa 1.5kg syabu di LTAKK

0

JANATHAN (kiri) menunjukkan syabu yang disorok suspek di dalam paket plastik ketika pemeriksaan bagasi di Wisma Kastam Kota Kinabalu kelmarin.

 

Dadah bernilai RM375,000 di sorok dalam bagasi akhirnya dikesan oleh mesin pengimbas

KOTA KINABALU: Hasrat seorang lelaki warga asing untuk ‘mengaut hasil’ dengan taktik menyeludup dadah yang disorokkan di dalam bagasi pakaian akhirnya tidak kesampaian setelah dikesan dalam mesin pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsan Kota Kinabalu (LTAKK) kelmarin.

Dadah seberat 1.5 kilogram dan mempunyai nilai pasaran sekitar RM375,000 berkenaan difahamkan telah disembunyikan oleh suspek di dalam dua bekas paket plastik gula jenis Gulaku Murni berasal dari Indonesia di bagasi miliknya bagi mengaburi mata penguatkuasa.

Insiden yang berlaku pada 25 November sekitar jam 7.30 petang itu, suspek berusia 35 tahun terbabit dikatakan baru tiba daripada negara Brunei Darussalam sebelum melalui pemeriksaan bagasi di situ.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, Dr Janathan Kandok berkata ketika pemeriksaan imbas itu dilakukan, pihaknya telah mengesan imej mencurigakan yang terdapat dalam bagasi milik suspek.

Beliau menjelaskan pemeriksaan lanjut telah dibuat ke atas bagasi suspek dan pihak Kastam telah menjumpai satu beg plastik yang mencurigakan di dalam bagasi berkenaan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, para pegawai daripada Cawangan Pemeriksaan Penumpang LTAKK JKDM telah menemui beg plastik yang mengandungi dua bekas paket plastik bersama pakaian yang lain.

“Lanjutan daripada itu, kita telah menjumpai serbuk kasar di dalam kedua-dua bekas paket plastik itu dan hasil pengesanan awal dadah ianya merupakan dadah jenis syabu.

“Anggaran berat kasar dadah itu dianggarkan lebih kurang 1.5 kilogram dengan nilai pasaran difahamkan mencecah RM375,000,” katanya pada satu sidang media kelmarin.

Menurut Janathan, pihaknya tidak menafikan suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti membawa masuk dadah ke negeri ini berdasarkan rekod keluar masuk termasuklah beberapa destinasi lain seperti negara Brunei dan Indonesia.

“Suspek yang ditahan fasih berbahasa Malaysia dan dipercayai tinggal di daerah Papar sejak beberapa tahun dahulu.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sehingga mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau menambah, ini merupakan kes kedua bagi tahun ini oleh Kastam Sasbah melibatkan cubaan untuk menyeludup dadah melalui pintu masuk lapangan terbang.

Pada 20 November lepas, JKDM berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun di Terminal Dua Tanjung Aru kerana membawa masuk syabu seberat 4 kilogram yang bernilai RM1 juta.

“Kita mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalur maklumat kepada Kastam dengan menghubungi mana-mana pejabat berdekatan atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kes seumpama ini,” katanya.