Golongan putus cinta dan kaki ekor mudah masuk perangkap jenayah penipuan

0

KANGAR: Golongan putus cinta, kaki ekor, warga emas dan pesakit adalah antara yang mudah terperangkap dalam jenayah komersil termasuk penipuan oleh bomoh dan tukang tilik palsu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan semalam.

Katanya, kebanyakan mangsa yang terpedaya sanggup menyerahkan wang mereka sehingga mencecah ribuan ringgit bagi mengubah nasib, mengubati penyakit atau menghindari nasib malang mereka.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Program Kesedaran Jenayah Peringkat Negeri Perlis di sini semalam, beliau berharap orang ramai tidak mudah terpecaya dengan perkhidmatan yang meragukan kerana penjenayah sentiasa mencari mangsa yang terdesak atau ditimba malang sebagai modus operandi mereka.

Syed Ismail berkata, penggunaan Internet secara meluas juga mendorong penjenayah mengambil kesempatan di atas kelalaian pengguna untuk menipu termasuk menganjurkan pembelian secara online.

Mereka yang gemar melakukan pembelian secara online dinasihati agar tidak melakukan pembayaran dengan mudah terhadap barangan yang ditawarkan untuk mengelak menjadi mangsa penipuan, katanya.

Beliau berharap orang ramai mengambil tahu selok-belok sesuatu perniagaan dan meneliti kesahihannya sebelum membuat bayaran melalui pindahan akaun ke atasbarangan yang dipesan. — Bernama