Kesedaran mengosongkan tangki septik masih rendah

0

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran dalam kalangan orang awam di negara ini bagi mengosongkan tangki septik masih lagi rendah, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata, sejak Kempen Pengosongan Tangki Septik Individu dilaksanakan tahun lepas, kesedaran dalam kalangan pemilik premis adalah seramai 68,548 orang tahun lalu berbanding 56,406 pada tahun sebelumnya.

“Terdapat peningkatan tetapi ia masih rendah. Jumlah ini hanyalah 5.3 peratus sahaja daripada hampir 1.3 juta jumlah keseluruhan tangki septik di Malaysia.

“Seharusnya kesemua tangki dikosongkan pada setiap tiga tahun sekali bagi mengelak pencemaran persekitaran dan sumber air negara,” katanya menjawab soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Ismail ingin tahu tahap pencapaian kementerian dalam melaksanakan kempen tersebut secara berskala dan kos rawatan yang dikenakan bagi tujuan itu.

Chin berkata, kadar promosi caj pengosongan tangki septik yang dikenakan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd adalah sebanyak RM144 iaitu bersamaan RM6sebulan.

Bagaimanapun, katanya caj yang dikenakan oleh kontraktor yang berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah tidak melebihi RM230bagi dua meter padu pertama dan RM115 bagi setiap meter padu berikutnya.

Katanya adalah menjadi hasrat kementerian untuk menguatkuasakan undang-undang berhubung tanggungjawab bagi pengosongan tangki septik itu. — Bernama