Majlis Pembangunan Sosial kenal pasti isu sosial

0

KUCHING: Jawatankuasa teknikal ditubuhkan bagi membantu Majlis Pembangunan Sosial mengenal pasti isu-isu sosial untuk dikaji serta mengetahui hala tujunya pada masa depan sejajar dengan transformasi sosial yang berlaku.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata penubuhan jawatankuasa itu penting kerana trend sosial di negeri ini khasnya dijangka lebih mencabar pada masa akan datang.

Beliau menambah kajian-kajian itu merupakan kesinambungan kepada kajian-kajian isu sosial yang telah dan sedang dilaksanakan kementerian itu.

“Kementerian saya baru-baru ini telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal bagi membantu Majlis Pembangunan Sosial mengenal pasti isu untuk dikaji seterusnya mengetahui hala tujunya pada masa akan datang sejajar dengan transformasi sosial kerana kita menjangkakan trend sosial kian mencabar pada masa akan datang,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Dalam pada itu beliau memberitahu Dewan, ketika ini kementeriannya sedang melakukan tiga kajian iaitu Perkahwinan Pada Usia Muda Dalam Kalangan Orang Islam, Sistem Sokongan Untuk Kanak-kanak Yang Diabaikan dan Kesan Penggunaan Facebook Oleh Pelajar.

Ketiga-tiga kajian itu katanya dijangka siap sebelum hujung tahun ini dan hasilnya akan digunakan oleh agensi-agensi berkaitan merangka tindakan susulan kepada isu-isu berkenaan.

Mawan yang juga Menteri Kanan Negeri berkata Kementerian Pembangunan Sosial akan menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai agensi, persatuan-persatuan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani masalah perjudian siber membabitkan remaja yang semakin membimbangkan di negeri ini.

Menurutnya program dan aktiviti melibatkan golongan remaja akan dimantap serta diperbanyakkan lagi, antaranya program mengasah bakat, kemahiran serta kebolehan golongan tersebut dalam pelbagai bidang.

Kementerian itu katanya akan mengguna pakai pendekatan baharu seperti strategi lautan biru dan terus menjalinkan kerjasama strategik dengan pemegang-pemegang taruhan bagi memastikan program belia, sukan dan kebudayaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan pada tahun depan.

“Manifestasi isu-isu sosial sekarang sudah berbeza. Kementerian saya bimbang dengan laporan media baru-baru ini melaporkan remaja ditahan kerana terlibat dalam perjudian siber. Insiden ini memang amat dikesali,” katanya.