Pelan Pembangunan Pendidikan diharap beri faedah kepada S’wak

0

KUCHING: Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pada 11 September oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diharap memberi faedah kepada Sarawak.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, antaranya bekalan guru berkualiti bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman.

“Pemilihan pengetua dan guru besar yang berkompetensi tinggi akan menjamin tadbir urus yang cekap dan berkesan.

“Peningkatan autonomi pengurusan peringkat sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah akan memudahkan proses membuat keputusan mengikut keperluan setempat dan penyediaan kemudahan prasarana di semua sekolah Sarawak menjelang 2015 bagi pembelajaran selesa dan kondusif,” katanya ketika memberi ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.

Sementara itu, baru-baru ini kementeriannya dengan kerjasama Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS) telah menghasilkan Manual Standard Kualiti Pendidikan Taska dan Tadika Negeri Sarawak.

Ia telah dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 14 November lepas.

Manual tersebut mengandungi dimensi-dimensi seperti aspek fizikal, program asuhan dan pembelajaran, kesihatan, keselamatan, pemakanan, personel dan pengurusan.

Menurut Fatimah bagi memantapkan profesionalisme dan kualiti guru prasekolah, pelbagai agensi pelaksana seperti KEMAS, Jabatan Pelajaran Negeri, JPNIN dan agensi swasta secara konsisten mengadakan latihan praperkhidmatan dan kursus dalam perkhidmatan.

“Kementerian bersama MPAKS turut menganjurkan Konvesyen Pendidikan Prasekolah bagi memberi nilai tambah kepada ilmu pengetahuan kepada guru prasekolah Sarawak secara tahunan yang telah diadakan di Sibu baru-baru ini dengan kehadiran 400 guru seluruh negeri,” tambahnya.

Sehingga November 2012, sejumlah 119 taska yang berdaftar dengan 2,186 kanak-kanak dan 346 pengasuh.

Manakala bilangan tadika atau prasekolah yang berdaftar di negeri ini ialah 3,340 buah dengan 77,404 kanak-kanak serta 5,243 guru.

Sekolah berintegriti Pusat Penjara Puncak Borneo merupakan antara enam yang diwujudkan di Malaysia yang juga memberi peluang kepada banduan muda mengikuti pelajaran dan menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM sejak 9 Februari 2009.