PRU13: Polis cukup jika permohonan kekal 500 pelatih di S’wak diluluskan

0

MIRI: Polis Sarawak dijangka tidak berdepan masalah kekurangan anggota untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sekiranya permohonan mereka untuk mengekalkan 500 pelatih yang telah menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching untuk bertugas di negeri ini mendapat kelulusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata sebelum ini pihaknya ada mengutarakan masalah kekurangan anggota untuk bertugas semasa PRU13 akan datang.

“Pada awalnya kami memerlukan sekurang-kurangnya 400 anggota tambahan untuk ditugaskan di seluruh negeri sepanjang pilihan raya tersebut nanti,” katanya.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini semalam.

Justeru bagi tujuan itu kata beliau, pihaknya telah menulis surat kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memohon 500 daripada 950 pelatih yang bakal menamatkan latihan di PULAPOL Kuching tidak lama lagi dikekalkan untuk ditugaskan di 27 daerah di Sarawak sehingga PRU13 selesai.

Sehubungan itu, Acryl amat berharap permohonan mereka itu diluluskan pihak Bukit Aman sebagai penyelesaian kepada masalah kekurangan anggota untuk menghadapi pilihan raya akan datang yang dihadapi pasukan polis Sarawak sekarang.

Dalam pada itu menurut beliau, dari segi persiapan lain, polis Sarawak telah bersiap sedia sejak lebih setahun lalu untuk menghadapi PRU13 yang akan diadakan bila-bila masa

“Persiapan yang dilakukan termasuk mempertingkatkan dan memperlengkapkan para anggota dengan pelbagai ilmu pengetahuan termasuk prosedur pilihan raya selain situasi di beberapa daerah yang mungkin berbeza dengan tempat lain,” katanya.