Wednesday, May 12

Edar dadah: Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman gantung mandatori

0

KOTA KINABALU: Seorang lagi lelaki berasal dari Sarawak berhadapan dengan hukuman gantung madatori, selepas rayuannya atas sabitan dan hukuman atas kesalahan mengedar syabu diketepikan Mahkamah Rayuan, di sini kelmarin.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Wahab Patali, Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof, dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk David Wong Dak Wah, sepakat dalam keputusan mereka mengenepikan rayuan Heng Cheng Ming, 46, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 12 Jun 2008, Heng dijatuhkan hukuman mati mandatori oleh hakim Mahkamah Tinggi, selepas didapati besalah mengedar syabu seberat 150.50 gram, pada 4 Januari 2006 jam 2.20 petang, di balai ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KTKK), di sini.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori.

Peguam Rakhbir Sing yang mewakili perayu berkata, ahli kimia tidak menganalisis semua dadah berkenaan dan persoalan adalah baki jumlah dadah terbabit.

Menurutnya, jika 21 contoh diambil yang dikatakan plastik A, apa yang terjadi adalah peratus pengiraan, mahkamah hanya mengandaikan terdapat dadah dalam palstik B, C dan D.

Katanya lagi, ahli kimia juga tidak mengemukakan sijil penentukuran dan juga isu mengenai jumlah keseluruhan berat dadah berkenaan, yang mana tidak dianalisis secara keseluruhan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Samihan Rhazali, dalam hujahnya berkata ahli kimia telah menganalisis semua dadah terbabit.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah saksi yang mana menurut laporan, boleh mengenal pasti dan yakin semua plastik itu adalah sama seperti yang diserahkan kepadanya.