RM1.25 bilion bangun luar bandar

0

Peruntukan sebagai kesinambungan pelaksanaan projek seluruh negeri

KUCHING: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah meluluskan peruntukan bernilai RM1.25 bilion untuk tahun hadapan bagi kesinambungan pelaksanaan projek pembangunan luar bandar di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, ia termasuk Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Projek Luar Bandar di Sarawak.

“Kerajaan mempunyai komitmen tinggi dan menyeluruh dalam meningkatkan taraf dan kualiti hidup penduduk di luar bandar di negeri ini.

“Ini terbukti dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0) yang akan bermula dari tahun 2013 hingga 2015,” katanya ketika menggulung ucapan bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar di DUN, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, di bawah program penyediaan Infrastruktur Asas Luar Bandar Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA-RBI), sejak tahun 2010 hingga Oktober 2012 sepanjang 736.06 kilometer jalan luar bandar telah dibina atau dinaik taraf di Sarawak.

Ia, katanya, telah memberi manfaat kepada 312,773 penduduk dan sejumlah 16,010 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) telah dibina atau dibaik pulih.

“Ini telah memberi manfaat kepada 80,050 orang penduduk.

“Dari segi perbelanjaan pula, sejak dari tahun 2010 hingga Jun 2012, sejumlah RM1.83 bilion telah diperuntukkan kepada negeri bagi melaksanakan Projek Jalan Luar Bandar dan sejumlah RM1.43 bilion telah dibelanjakan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, RM 414.88 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan PBR di negeri ini dan sejumlah RM375.12 juta telah dibelanjakan dalam tempoh sama.

Katanya bagi tahun 2012, setakat 30 September 2012, sejumlah 302.06 kilometer jalan luar bandar telah dibina atau dinaik taraf berbanding sasaran 183.30 kilometer.

“Manakala sejumlah 3,415 buah rumah juga telah dibina atau dinaik taraf di bawah PBR dalam tempoh yang sama berbanding 2,801 buah rumah yang disasarkan,” kata Jabu.

Beliau berkata, di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dari tahun 2010 hingga 2012, kerajaan melalui KKLW telah memperuntukkan sejumlah RM5.22 bilion kepada negeri ini bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas luar bandar merangkumi BALB, BELB, Projek Jalan Luar Bandar dan PBR.

“Projek-projek ini telah memberi manfaat kepada 840,163 penduduk luar bandar di negeri ini sepanjang tempoh tersebut,” katanya.