Kanada antara negara tawar pendidikan bertaraf dunia

0

KUCHING: Kanada antara negara menawarkan pendidikan bertaraf dunia dan persekitaran hidup yang baik kepada pelajar dari luar negara.

Presiden Persatuan Graduan Kuching (PPGK) Philip Wong Pak berkata, menurut Menteri Imigresen Kanada Jason Kenny dalam satu kenyataan, negara itu telah memperkenalkan dasar baharu iaitu pelajar luar negara yang menuntut di Kanada boleh melakukan kerja sambilan dan sepenuh masa selepas tamat pengajian.

Beliau menambah di bawah polisi baharu itu, pelajar asing diberi keutamaan untuk berhijrah dan diberikan status Pemaustatin Tetap (PR).

“Kenny berkata, setiap tahun kira-kira 10,000 pelajar asing diterima sebagai Pemaustatin Tetap. Rasional mengambil pelajar asing ini ialah mereka masih muda dan memiliki ijazah atau diploma dari Kanada dan fasih berbahasa Kanada sekali gus menjanjikan kejayaan bagi mereka,” jelas Wong dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Oleh itu, katanya, ibu bapa harus mempertimbangkan cadangan persatuan agar menghantar anak-anak mereka belajar di Kanada.

Sementara itu, PPGK telah mengadakan seminar ‘Peluang di Kanada: Perniagaan, Migrasi dan Pendidikan’ pada 20 Oktober lepas. Seminar itu dikendalikan oleh Pesuruhjaya Perdagangan dari Suruhanjaya Tinggi Kanada di Kuala Lumpur Ross Firla.

Setakat ini, kira-kira 70,000 rakyat Malaysia menamatkan pengajian mereka di universiti-univeriti dan kolej di Kanada dan kira-kira 2,000 melanjutkan pengajian di negara itu setiap tahun.