Saksikan festival komik, pameran dinosaur di Miri

0

MIRI: Buat julung kalinya di Sarawak, festival komik dan pameran eksplorasi dinosaur dianjurkan untuk penduduk Miri bermula hari ini hingga Ahad di Kompleks Permy Mall dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Aktiviti dianjurkan oleh syarikat penerbitan komik, novel dan majalah, Gempak Starz dan Learn More!.

Pengunjung akan diberi maklumat tentang evolusi kehidupan dinosaur selain peluang mendapatkan komik bersiri ‘X-Venture: Dinosaur Kingdom’ diterbitkan syarikat itu.

Komik 12 siri ini diterbitkan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina yang mengisahkan tentang pengembaraan empat sahabat, Sean, Starz, Rain dan Stone ketika bumi ditakluki dinosaur.

Turut diselitkan dalam komik ialah maklumat tentang kehidupan dinosaur serta kuiz.

“Ini merupakan aktiviti pertama kita di kompleks beli-belah. Sebelum ini kita hanya adakan aktiviti kita di sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia,” jelas jurucakap Learn More!, Fido Kong.

Beliau mengalu-alukan kunjungan penduduk Miri khasnya golongan kanak-kanak dan pelajar menambah pengetahuan mereka khasnya tentang kehidupan dinosaur.

Turut diadakan ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan sesi bertemu kru-kru komik ‘X-Venture.’