Ungu serikan Konsert Anugerah Carta Borneo Era 2012

0

MAAFKAN AKU: Ir Radzi sedang fokus dengan album mininya untuk tahun depan.

KUCHING: Konsert Anugerah Carta Borneo Era 2012 memberi kenangan manis buat peminat Ungu meskipun hujan lebat turun tanpa henti di Pusat Integrasi Rekreasi Kuching (KIRC) malam kelmarin.

Ungu mendendangkan tujuh lagu hit buat peminat mereka iaitu Sayang, Cinta Dalam Hati dan Kekasih Gelapku.

Di konsert itu, Eravengers dianggotai para juruhebah ERA FM seluruh negara iaitu Dina, Shac, Osha, Hasmin, Afick, Nazuan, Uno, Hanif dan Ray membuka tirai bagi menyemarakkan lagi semangat penonton yang hadir.

Suasana hingar-bingar penonton diselangi persembahan daripada RDZ, Ir Radzi, NoeNaki, Sharifah Zarina, KLangit, POLAR dan Ungu kumpulan muzik Indonesia yang sedang gah mencipta nama.

Sementara itu, acara kemuncak penyerahan Anugerah Carta Borneo Era 2012 menyaksikan kumpulan Hevance dianugerahi Anugerah Media Sosial Paling Kaw’ manakala Anugerah Lirik Paling Perghhh! diberikan kepada Najib dan Galvin Patrick.

Sonar Instinct bagaimanapun menerima Anugerah Imej Artis Terbaik serta Maze dengan lagunya Sebuah Kisah dengan dialognya sekali menjadi pilihan untuk Anugerah Susunan Muzik Paling Cun.

Anugerah Artis Borneo Paling Popular pula diraih oleh pendatang baharu yang sedang kian meningkat nama dalam persada muzik tanah air – Ir Radzi dengan lagunya Maafkan Aku.

Menurut Ir, lagu terbaharunya, Maafkan Aku merupakan kolaborasi duet Ir bersama Bemby Noor yang juga merupakan komposer Sammy Simorangkir, Afgan, Vidi Aldiano dan beberapa artis besar di Indonesia.

Ir memberitahu wartawan, lagu tersebut merupakan ilham daripada komposer Iman Wan yang pernah menaikkan nama Datuk Siti Nurhaliza suatu masa dahulu.

Beliau yang dijadualkan tamat rakaman menjelang hujung Januari bagaimanapun belum pasti bila album mininya itu bakal berada di pasaran.

Ditanya perasaannya bekerja bersama komposer Nusantara, beliau menyatakan kebanggaan bekerja bersama Bemby dan Iman yang tahu kelebihan dan keaslian yang ada pada dirinya.

Maklumat perkembangan terbaharu Ir boleh dilayari di laman Facebook: Ir Radzi Official, twitter:irradzi, reverbnation dan YouTube irradzi.

AMP, Era FM bersama KIRC dan Xpax selaku penaja rasmi telah berjaya mengadakan konsert ulung Konsert Anugerah Carta Borneo Era 2012 itu di sini kelmarin.