Cubaan sindiket seludup dadah ke negara jiran gagal: Hamza

0

HAMZA (kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang disorokkan dalam bungkusan kertas aluminium milik kedua-dua suspek ketika diperiksa polis.

KOTA KINABALU: Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup syabu seberat 3.4 kilogram ke negara jiran yang didalangi oleh sindiket dadah antarabangsa dengan tertangkapnya dua wanita warganegara Vietnam di sebuah hotel di daerah Tawau pada Sabtu lepas.

Suspek, masing-masing berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.45 malam pada 1 Disember lepas dan dipercayai baru tiba daripada negara India sebelum memasuki negara ini menerusi destinasi transit Kuala Lumpur dan kemudiannya ke daerah Tawau melalui penerbangan udara.

Dadah tersebut dipercayai dibawa dari India dan berada di negara ini sebelum dipasarkan ke negara jiran.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata suspek difahamkan membawa masuk dadah yang disembunyikan di dalam beg galas salah seorang daripada mereka dan melepasi pemeriksaan di lapangan terbang sebelum ditahan di hotel berkenaan.

Menurut beliau, hasil maklumat dan intipan, sepasukan polis narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau akhirnya berjaya menghidu tindakan suspek lalu menahan mereka di sebuah hotel di situ kira-kira jam 11.45 malam.

“Suspek kemudiannya membawa polis ke bilik penginapan mereka untuk diperiksa dan polis berjaya menemui sebungkus kertas aluminium yang disembunyikan dalam sebuah beg galas.

“Pemeriksaan ke atas beg itu berjaya membongkar kegiatan suspek dengan didapati membawa dadah jenis syabu seberat 3.4 kilogram, dengan anggaran harga pasaran tempatan iaitu kira-kira RM1.3 juta.

“Kita juga mendapati suspek menggunakan taktik menyorok dadah itu di dalam beg berkenaan yang dijahit semula bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya sambil menambah, keputusan air kencing kedua-dua suspek adalah negatif dadah.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Hamza berkata pihaknya turut mempercayai dadah yang diseludup oleh suspek bukan untuk pasaran tempatan namun tidak menafikan cubaan berkenaan adalah ke negara jiran.

“Setakat ini, kita masih siasat perkara itu namun polis percaya ia adalah cuba diseludup ke negara jiran melalui negeri Sabah yang didalangi oleh sindiket dadah antarabangsa.

“Bagaimanapun, kes terbabit merupakan rampasan terbesar buat tahun ini melibatkan penyeludupan dadah,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Hamza berkata polis terus giat menggempur aktiviti penjualan dadah di sekitar kampung atas air atau kawasan pulau di Sabah dengan tertangkapnya kira-kira 11,000 individu setakat tahun ini.

Katanya, operasi berterusan daripada pihak polis bagi menangani aktiviti penyeludupan dadah dan penyalahgunaan dadah terus dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Kita sememangnya aktif membanteras aktiviti jual dadah yang didalangi oleh pengedar-pengedar kecil di Sabah dan sebagai bukti, polis berjaya menahan lebih kurang 11,000 individu setakat ini melibatkan pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 80 peratus melibatkan masyarakat tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Noor Rashid Ibrahim, bahawa polis akan memberi tumpuan utama daripada pelbagai aspek untuk menangani kumpulan pengedar-pengedar kecil yang bergiat aktif di rantau ini.