Wan Zaizodin KPD Betong baharu

0

SERAH TUGAS: Sarifuddin (kiri) menyampaikan dokumen Serah Tugas kepada Wan Zaizodin sambil disaksikan oleh Poniman di IPD Betong, semalam.

BETONG: Bermula 3 Disember lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong secara rasminya mampunyai Ketua Polis Daerah (KPD) yang baharu apabila Deputi Superintenden Polis (DSP) Wan Zaizodin Wan Jaafar menerima pelantikan itu menggantikan DSP Sarifuddin Mustafa.

Pada masa yang sama, Wan Zaizodin sebelum ini berkhidmat sebagai KPD Tatau, Bintulu mengambil alih tugas menggantikan Sarifuddin yang dilantik sebagai KPD Betong sejak sembilan bulan lalu.

Dalam pada itu, Sarifuddin yang belum sampai setahun berkhidmat sebagai KPD Betong akan memulakan tugas sebagai Pegawai Turus D9 (Siasatan Kes Bunuh) di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen (IPK) Sarawak di Kuching.

Majlis Serah Terima Tugas jawatan berlangsung di Bilik Gerakan IPD Betong dengan disaksikan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintenden Poniman Margiman yang mewakili Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Pada majlis tersebut, Wan Zaizodin dalam ucapannya berkata beliau menghargai semangat berpasukan yang telah dijayakan oleh KPD terdahulu dan meneruskan usaha bagi mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan sistem penyampaian barisan hadapan pasukan polis untuk mendekati rakyat.

“Sebagai orang baharu di sini, saya akan merujuk kepada keperluan yang perlu disampaikan kepada rakyat dengan usaha meneruskan kesinambungan serta kecemerlangan tugas yang ditinggalkan oleh DSP Sarifuddin sebelum ini,” katanya.

Hadir sama para pegawai kanan, pegawai-pegawai dan para anggota IPD Betong.