25 filem terbaik Eropah kini ditayangkan di Sabah

0

YEE (empat kanan), Duta Austria ke Malaysia, Andrea Wicke (tiga kiri) dan tetamu kehormat pada majlis pelancaran EUFF.

Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) ke-13 membuat penampilan karya Eropah terbaik buat julung kalinya di Sabah.

Sempena festival ini, EUFF akan menayangkan 25 koleksi filem dan dokumentari dari 19 negara Eropah bermula 6 hingga 13 Disember ini di Golden Screen Cinemas (GSC), Suria Sabah, Kota Kinabalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, festival itu akan memberikan pengalaman unik mengenai kepelbagaian budaya dari pelbagai negara kepada seluruh penonton di Malaysia.

“Saya turut gembira kerana para penonton di Sabah juga diberikan peluang untuk menikmati filem Eropah dan keputusan EUFF untuk mengadakan festival ini di ibu negeri.

“Filem ini bukan hanya setakat hiburan tetapi hanya dalam masa dua jam, filem ini mampu menyatupadukan perjalanan hidup masyarakat melalui realiti yang berbeza,” katanya dalam ucapan perasmiannya pada majlis pelancaran EUFF, malam Rabu lalu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Yee Moh Chai.

Dalam pada itu, Musa turut menyampaikan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dan 20 negara yang mengambil bahagian untuk mejayakan festival terbabit.

“Saya berharap lebih banyak pertukaran budaya dan kerjasama dua hala antara Sabah dan Kesatuan Eropah di masa hadapan,” tambahnya.

EUFF dianjurkan oleh Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dengan kerjasama duta dari 17 ahli Kesatuan Eropah seperti Austria, Croatia, Norway dan Switzerland.

Sepanjang penganjuran EUFF, festival pada kali ini mencatatkan penyertaan filem, negara dan lokasi yang paling tinggi.

Koleksi filem yang ditayangkan juga merangkumi pelbagai genre iaitu dari komedi, animasi, biografi, filem tiga dimensi (3D) dan filem pendek.

Antara judul filem yang akan ditayangkan ialah ‘In a Better World’ dari Denmark yang menggondol trofi Academy Award 2011 dan Golden Globes sebagai Filem Asing Terbaik.

Selain itu, antara filem yang ditayangkan ialah filem romantis menyentuh hati iaitu ‘A Second Childhood’ (Itali) dan filem animasi yang menggunakan dialog minimum iaitu ‘The Illusionist’ (Perancis).

Filem inspirasi mengenai empat pemuda yang mengidap penyakit kanser iaitu ‘The Pirate’s Ward’ (Switzerland) serta dokumentari dari Austria mengenai pemikir Muslim Muhamad Asad iaitu ‘A Road to Mecca’ turut ditayangkan.

Semua tiket untuk tayangan filem ini dijual pada harga RM5 kecuali filem dari Sepanyol, ‘Mataharis dan dokumentari British, ‘Senna’ yang ditayangkan secara percuma.

Bagaimanapun, bayaran tambahan akan dikenakan sebanyak RM5 untuk tayangan digital filem 3D iaitu dokumentari tarian yang berjudul ‘Pina’ dari Jerman.

Tiket boleh dibeli melalui laman web www.gsc.com.my atau melalui cawangan GSC Suria Sabah. Untuk maklumat lanjut dan jadual tayangan, sila layari laman web www.euff.com.my.