Bekas tentera disaran ceburi IKS

0

TERIMA KASIH: Masir (empat kiri) memerhatikan Ismawie menyematkan pingat Jasa Malaysia kepada salah seorang penerima pada majlis itu.

K’jaan beri bantuan pastikan perniagaan berjaya, tingkat pendapatan

SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat menggesa bekas tentera agar menceburi bidang industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan masing-masing.

Menurutnya, penglibatan golongan bekas tentera dalam bidang itu akan dapat membantu mereka menjana sumber pendapatan tambahan sendiri dan keluarga.

Pada masa sama, katanya, bekas tentera juga boleh mendapatkan bantuan daripada Persatuan Veteran Renjer Sarawak (SRVA) untuk memohon pinjaman yang ditawar oleh TEKUN atau AgroBANK bagi memulakan perniagaan IKS mereka.

“Kerajaan akan menyokong usaha ini dan pada masa yang sama, pinjaman tersebut boleh membantu bekas tentera untuk menceburi bidang IKS menerusi penghasilan kraf tangan, pembuatan parang dan sebagainya,” ujarnya.

Masir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persatuan Veteran Renjer Sarawak Cawangan Sri Aman/Betong di Dewan Suarah Sri Aman di sini, kelmarin.

Pada majlis itu Masir, mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) RM5,000 kepada SRVA Cawangan Sri Aman/Betong.

Masir juga menasihati bekas tentera agar menyertai mana-mana persatuan bekas tentera agar kemudahan yang disalurkan kerajaan dapat dimanfaat oleh mereka.

“Saya berharap agar bekas tentera menyertai persatuan di kawasan masing-masing agar kebajikan dan hidup mereka terus terpelihara,” kata beliau.

Turut hadir Pengerusi SRVA Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Penolong Pengerusi SRV, Datu Mohd Nor Salleh dan bekas tentera sekitar Sri Aman.

Sementara itu, Rizal dalam ucapannya berkata, kemasyhuran serta legenda golongan Penjejak Iban (Iban Trackers) dan Renjer Sarawak dalam memburu para pengganas komunis pada era darurat perlu diwariskan kepada golongan muda hari ini.

Sehubungan itu, katanya, SRVA bercadang menubuhkan sebuah akademi di kawasan Sabal Kruin, Simunjan bagi merealisasikan impian itu.

Menurut beliau, Sabal Kruin dipilih berdasarkan kesesuaian aktiviti jejak rimba yang boleh dilaksanakan di kawasan itu, sekali gus mampu menarik minat generasi muda yang ingin menguasai kemahiran itu.

“Berita baiknya ialah latihan terbabit bukan sahaja ditawar kepada rakyat negeri ini, malah akan turut dibuka kepada masyarakat seluruh dunia sekiranya cadangan ini berjaya dilaksanakan kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rizal berkata, SRVA sedang giat melaksanakan projek ladang kelapa sawit seluas 3,000 ekar di Sampadi, Lundu.

“Projek ini membolehkan saham diterbit menerusi koperasi yang diwujudkan untuk ahli SRVA.

“Hasil projek itu akan diberi dalam bentuk dividen tahunan kepada semua ahli yang membeli saham tersebut,” jelasnya.

Majlis turut diserikan dengan upacara penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada 22 orang veteran tentera.