Elak jadi mangsa pecah rumah

0

JAUTEH menerangkan sesuatu kepada pelanggan yang menghadiri program itu di King Fisher Likas kelmarin.

Orang ramai digesa tingkat keselamatan ketika keluar bercuti

KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan untuk mempertingkatkan tahap keselamatan ketika meninggalkan kediaman mereka di musim cuti persekolahan ini bagi mengelak menjadi mangsa pecah rumah.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata tindakan seperti memaklumkan kepada jiran-jiran tetangga sekiranya keluar bercuti adalah perlu bagi mengelak sebarang kejadian buruk berlaku.

Menurut beliau, antara langkah keselamatan lain yang perlu diberi perhatian ketika meninggalkan rumah adalah termasuk memasang lampu di perkarangan kediaman, memasang kunci tambahan serta pastikan pintu ataupun tingkap tidak terdedah yang mampu menarik perhatian penjenayah.

“Polis ingin mengingatkan kepada umum bahawa pentingnya meningkatkan keselamatan ketika meninggalkan rumah sekiranya keluar bercuti kerana kebanyakan kes terjadi adalah disebabkan kelalaian dan mengabaikan beberapa perkara yang perlu diutamakan seperti memasang lampu.

“Oleh demikian, kita sekali lagi meminta kerjasama orang ramai khususnya penduduk di Kota Kinabalu untuk lebih berwaspada sebelum meninggalkan rumah dan kalau boleh, maklumkan pemergian anda bercuti bagi mengelak kejadian pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersempena Program Polis Bertemu Pelanggan anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di King Fisher, Likas, di sini kelmarin.

Mengulas mengenai program yang diadakan dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari itu, Jauteh berkata kebanyakan respon daripada masyarakat adalah menyentuh kejadian-kejadian pecah rumah di kawasan berkenaan selain memohon pembinaan pondok-pondok polis di lokasi strategik.

“Kita telah menerima beberapa respon daripada pelanggan yang datang ke program ini, yang mana melahirkan kebimbangan mengenai masalah pecah rumah di kawasan perumahan King Fisher.

“Bagaimanapun untuk makluman, kes-kes pecah rumah di sini adalah tidak meruncing dan terkawal namun demikian kita telah mempertingkatkan rondaan-rondaan pada masa-masa puncak bagi mengatasi masalah ini,” ujarnya.

Menurut Jauteh lagi, pihaknya telah menempatkan Balai Polis Bergerak di kawasan-kawasan perumahan di situ yang dilaksanakan pada sebelah petang hingga lewat malam selain rondaan 24 jam oleh unit MPV.