Kaum Cina Baram harus bersatu

0

APA KHABAR?: Jacob (empat kiri) bertanya khabar sambil bersalam dengan salah seorang tetamu pada majlis tersebut.

Teruskan sokongan kepada k’jaan untuk memastikan nasib dibela: Jacob

MARUDI: Timbalan Men-teri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan mengingatkan masyarakat Cina di Baram agar tidak berpecah belah, sebaliknya terus menyokong Barisan Nasional (BN) dalam satu hala tuju iaitu mengundi calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti bagi memastikan nasib mereka terus dibela.

Sebaliknya, jika mereka membuang masa dengan mengundi calon parti pembangkang ataupun Bebas, bermakna mereka menolak pembangunan yang sudah dirancang dan dijanjikan untuk rakyat di sini, termasuk kaum Cina, kata Jacob.

“Kita sudah mengetahui dan memahami bahawa pembangkang hanya pandai mengkritik pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi sebaliknya mereka ini tidak pernah menyalurkan apa jua pembangunan ataupun sumbangan kepada masyarakat seperti yang dijanjikan oleh mereka.

“Kerajaan BN sahaja adalah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab terhadap pembangunan dan kebajikan masyarakatnya, bukan cakap kosong semata-mata,” kata Jacob lagi.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam perpaduan bersama masyarakat Cina Baram yang diadakan di Dewan Suarah Baram di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong BN merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

Jacob dalam pada itu, melahirkan rasa bangga melihat sambutan kaum Cina dari Marudi dan Long Lama yang di luar dugaan sehingga memenuhi Dewan Suarah Baram pada majlis tersebut.

Hampir 1,000 masyarakat kaum Cina tempatan memeriahkan majlis makan malam tersebut.

Jacob yang juga Ahli Parliamen Baram memberitahu, beliau akan kerap turun padang bertemu dengan rakyat selepas ini bagi memperjelaskan visi dan misinya sebagai pemimpin kerajaan, sekali gus berusaha membawa pembangunan kepada pekan Marudi dan Daerah Baram amnya.

“Kerajaan BN juga sentiasa memberikan peruntukan projek luar bandar tetapi pembangkang tidak pernah berbuat demikian,” kata beliau yang dijangka menjadi calon BN di kerusi Baram pada PRU13 nanti.