Miri, Limbang terbaik di M’sia: JAS

0

PENERANGAN: Para peserta yang menghadiri seminar mendengar dengan khusyuk penerangan daripada JAS berkaitan pengurusan buangan terjadual yang diadakan di Miri, semalam.

Industri perkapalan teratas dalam patuhi peraturan buangan terjadual

MIRI: Pematuhan terhadap peraturan berkaitan alam sekitar bagi premis-premis di bahagian Miri dan Limbang adalah yang terbaik di Malaysia.

Pengakuan yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia itu berdasarkan kepada pematuhan membabitkan larangan dan kesungguhan premis berkaitan dalam mematuhi peraturan-peraturan seperti yang ditetapkan dalam Akta Kualiti Alam Sekitar yang dikuatkuasakan pada 15 April 1975.

Pegawai Penguat Kuasa JAS Miri/Limbang, Richard Tagong memberitahu di antara premis yang dikategorikan sebagai punca pencemar di bawah perindustrian, premis perkapalan adalah paling cemerlang kerana 100 peratus premis yang didaftarkan di Miri dan Limbang mematuhi peraturan.

“Di Miri dan Limbang terdapat sejumlah 25 buah premis perkapalan yang berdaftar dan kesemuanya iaitu 100 peratus, mematuhi peraturan alam sekitar seperti yang ditetapkan oleh kerajaan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005,” katanya.

“Ini bermakna industri perkapalan di Miri dan Limbang telah bertindak dengan baik dalam menguruskan sisa buangan terjadual mereka agar tidak mencemarkan persekitaran,” tambah beliau.

Richard memberitahu demikian semasa menyampaikan ceramah penguatkuasaan dan pengendalian bahan-bahan buangan terjadual sempena Program Latihan dan Seminar Pengurusan Bahan Buangan Terjadual yang diadakan di sebuah hotel di sini semalam. Beliau mewakili Pegawai JAS Miri, Siva Nathiran.

Di tangga kedua selepas industri perkapalan ialah industri bengkel, di mana hampir 100 peratus daripada 227 buah bengkel yang berdaftar di Miri dan Limbang telah mematuhi peraturan sama yang ditetapkan.

Katanya, di Miri dan Limbang sahaja terdapat sebanyak 588 buah premis atau punca-punca pencemaran yang telah dikenal pasti.

Selain perkapalan dan bengkel, premis lain ialah kilang kelapa sawit (18 premis), besi buruk (7), ‘batching’ (19), perkayuan/perabot (57), pusat penyembelihan ayam/khinzir (4), hotel (27) dan lain-lain (204).

Beliau berkata, walaupun penguat kuasa JAS Bahagian Miri hanya mempunyai 10 kakitangan sahaja, namun kerjasama pihak pengurusan premis dalam mematuhi arahan yang ditetapkan telah menjadikan bahagian ini dan Limbang sebagai yang teratas dalam mematuhi peraturan.

“Jika bilangan anggota penguat kuasa ini ditambah atau lebih ramai lagi, saya yakin lebih banyak premis akan mematuhi arahan kerana operasi penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih kerap,” ujar beliau.

Richard memberitahu, JAS telahpun memberikan kelulusan dan lesen kepada tiga buah syarikat di Miri untuk khidmat pengurusan dan kutipan bahan-bahan buangan terjadual iaitu E-Concern (M) Sdn Bhd, YB Enterprise Sdn Bhd dan Waste Way Sdn Bhd.

Ketiga-tiga syarikat ini juga yang akan bertindak menghantar bahan buangan terjadual terbabit ke pusat pelupusan yang sah di Semenanjung Malaysia seperti Perak, Selangor, Pahang serta Negeri Sembilan, manakala di Sarawak, pusat pelupusan ini dijalankan oleh Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd di Kuching.

Dalam pada itu, katanya, buangan terjadual yang merupakan bahan-bahan buangan bersifat toksik dan berbahaya dan perlu dilupuskan menggunakan kaedah yang selamat dan betul adalah terdiri daripada 77 buang yang dibahagikan kepada lima kumpulan utama.

“Antara buangan terjadual yang disifatkan bertoksik dan berbahaya oleh JAS ialah minyak pelincir terpakai, minyak hidraulik terpakai, bateri terpakai, penapis minyak terpakai, buangan klinikal, buangan E-Waste (peralatan komputer dan elektrik termasuk telefon bimbit) serta bekas-bekas yang dicemari oleh bahan buangan terjadual di atas,” jelasnya.

Mengenai pengeluaran kompaun oleh JAS, beliau berkata daripada 113 kes berkaitan alam sekitar yang telah dikenakan kompaun, sebanyak 36 daripadanya membabitkan barangan berjadual dengan maksimum kompaun yang dikenakan ialah RM2,000.

Sementara itu, seramai 130 orang yang mewakili syarikat-syarikat dan premis perindustrian menghadiri seminar semalam.