PBT perlu sokongan masyarakat

0

KHIDMAT CEMERLANG: Sikie menyampaikan sijil kepada Noni Rao dari MPP pada majlis tersebut. Turut kelihatan (dari kanan) Pengerusi MPP Lo Khere Chiang, Penguang dan Setiausaha MPP Michael Saweng.

Kakitangan perlu komited beri khidmat terbaik kepada rakyat: Sikie

KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tanpa sokongan dan kerjasama rakyat.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk John Sikie Tayai berkata, kepentingan rakyat adalah satu amanah, justeru sebagai organisasi yang fokus terhadap kepuasan rakyat, PBT harus sentiasa menyemai semangat motivasi dalam kalangan kakitangannya ketika menjalankan tangungjawab.

“Kakitangan PBT perlu komited terhadap tugas secara menyeluruh di samping memupuk semangat setiakawan dan saling hormat-menghormati.

“Pertalian yang erat di kalangan kakitangan akan memudahkan pelaksanaan sesuatu tugas,” ujar beliau pada Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 bagi gabungan kakitangan PBT Zon A di sini, malam kelmarin.

Sikie berkata, beliau percaya penerima-penerima anugerah pada majlis tersebut telah bekerja keras bukan kerana mengejar anugerah, tetapi komited terhadap kerja seterusnya berjasa kepada rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datu Dr Penguang Manggil berkata, rakyat sentiasa mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada PBT, maka ia harus ditunaikan secara berkesan.

Majlis tersebut yang bertemakan ‘Perkhidmatan Cemerlang Menjamin Kesejahteraan Rakyat’ menyaksikan 68 menerima sijil terdiri daripada kakitangan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti, Majlis Daerah Bau, Majlis Daerah Lundu, Majlis Daerah Serian, Majlis Daerah Simunjan, Majlis Daerah Samarahan dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Penyampaian sijil tersebut dianjurkan bagi menghargai usaha para penjawat awam terutama kakitangan PBT yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang.