SCORE paling baik untuk Sarawak

0

TAHNIAH: Taib (kiri) menyampaikan Anugerah Pelajar STPM Aliran Kemanusiaan kepada Quziana Zulaikha Mahnor dari SMK Bandar Bintangor, Meradong sambil disaksikan oleh Morshidi (tengah).

Semua bidang pekerjaan akan diisi oleh pekerja mahir dan separa mahir

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menegaskan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah satu program yang paling baik bagi Sarawak, yang mungkin tidak dapat ditukar dengan bentuk-bentuk strategi pembangunan lain.

Katanya, tidak ada sektor lain yang dapat memberikan peluang pekerjaan seperti SCORE, malah separuh daripadanya tidak akan memanfaatkan rakyat Sarawak, misalnya pelancongan dan lain-lain.

“Di bawah SCORE, lebih sejuta peluang pekerjaan akan dapat kita wujudkan dalam tempoh 20 tahun iaitu menjelang 2030,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak 2012 di sini, malam kelmarin.

Taib berkata, semua bidang pekerjaan di SCORE akan membabitkan bentuk pekerjaan yang berkaitan dengan pasaran dunia iaitu 32 peratus daripadanya akan diisi oleh pekerja mahir dan separuh mahir.

Sehubungan itu, beliau meminta Yayasan Sarawak agar membantu mencari kaedah terbaik dalam menggalakkan pembangunan pendidikan berasas kemahiran teknikal kepada pelajar di negeri ini.

Ini kerana, katanya, pelajar yang mempunyai kemahiran teknikal dilihat menjadi keperluan utama untuk menampung tenaga kerja di SCORE.

“Saya menyerahkan kepada Yayasan Sarawak untuk mencari jalan menggalakkan pembangunan kemahiran ini dengan seluas-luasnya serta mencapai kehidupan lebih baik khasnya untuk anak-anak di luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas merangkap Pengerusi Yayasan Sarawak Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, Yayasan Sarawak mempunyai misi yang besar dalam memenuhi pasaran pekerjaan di SCORE.

“Selain memberi biasiswa, Yayasan turut menaja institusi-institusi yang menawarkan pendidikan teknikal yang berkualiti di negeri ini.

“Penglibatan dan kerjasama dengan badan-badan ini amat penting dalam memastikan sasaran dalam SCORE tercapai,” katanya.

Majlis Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak 2012 malam kelmarin yang memasuki penganjuran ke-20 menyaksikan seramai 22 penerima anugerah daripada 25 kategori yang dipertandingkan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.