Ahli perniagaan wanita rugi RM60,000

0

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan wanita tempatan rugi hampir RM60,000 setelah kediamannya di Taman Tun Fuad Stephen, Luyang di sini dipecah masuk oleh sekumpulan penjenayah pagi kelmarin.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan kes itu masih dijalankan.

Menurut beliau, dalam insiden sekitar jam 2 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 52 tahun bersama ahli keluarga lain baru pulang ke kediaman mereka dan terkejut apabila mendapati pintu bahagian hadapan telah rosak seolah-olah diumpil sesuatu.

“Curiga dengan keadaan itu, mangsa kemudian melakukan pemeriksaan ke dalam kediamannya dan didapati keadaan ruang tamu telah bersepah seperti diselongkar.

“Hasil pemeriksaan mangsa juga mendapati dia telah kehilangan beberapa barangan berharga termasuklah dokumen perjalanan, barangan kemas dan wang tunai pelbagai jenis mata wang,” katanya.

Susulan daripada kejadian itu, Jauteh berkata mangsa dan keluarganya pergi ke balai polis untuk membuat laporan.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah kerugian hampir RM60,000 berikutan pelbagai barangan yang telah dilarikan oleh suspek. Polis percaya suspek memasuki rumah mangsa menerusi pintu hadapan dan kita turut mengesyaki kegiatan itu melibatkan lebih daripada seorang suspek,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk tampil segera membantu siasatan polis.

“Saya minta kepada orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat untuk segera membantu polis bagi menyelesaikan siasatan kes ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.