Mayat dengan kesan tikaman dijumpai dalam parit

0

PARIT di hadapan sebuah bengkel kereta di mana mayat mangsa ditemui.

SANDAKAN: Mayat seorang perempuan dengan kesan tikaman ditemui di dalam parit di hadapan sebuah bengkel kereta di kawasan perindustrian ringan Sedco, Batu 3 Jalan Utara di sini awal pagi kelmarin.

Mangsa, Arwidah Misran, 19, berbangsa Kagayan ditemui oleh orang awam yang lalu-lalang di kawasan itu kira-kira jam 6.55 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superitendan Fadzil Mohd Ali berkata mangsa masih lengkap berpakaian dan pemeriksaan awal mendapati terdapat enam hingga tujuh kesan luka tikaman pada badan mangsa.

Katanya, turut dijumpai di tempat kejadian adalah beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen pengenalan IMM13 serta barangan lain seperti wang dan jam tangan.

Difahamkan, tiada saksi yang melihat kejadian dan hasil temubual awal dengan penduduk setempat juga mendapati tiada sebarang kejadian bunyi bising pergaduhan atau orang menjerit meminta tolong.

Menurut Fadzil, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan polis.

Sementara itu, sepupu mangsa yang ditemui di tempat kejadian memberitahu mangsa sering menggunakan laluan berkenaan ketika pergi dan balik dari kerja.

Difahamkan, mangsa bekerja pada sebelah malam dan hanya akan balik pada subuh.

“Selalunya, saya terserempak dengan dia (mangsa) masa dia balik kerja. Tetapi subuh ini tidak pula,” katanya.