Mayat reput ditemui bawah jambatan

0

KOTA KINABALU: Polis meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mayat lelaki ditemui dalam keadaan reput di bawah jambatan ladang sawit Meton Tingkayu, Kunak, Selasa lalu untuk tampil menghulurkan bantuan.

Difahamkan mayat berkenaan ditemui separuh reput dan lengkap berpakaian baju putih bercorak batik, berseluar panjang serta memakai gigi palsu.

Ketua Polis Daerah Kunak, Deputi Superitendan M Radzali Mahmud berkata mayat itu ditemui sekitar jam 9 pagi dan hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah dibunuh.

“Hasil pemeriksaan polis, mayat mangsa yang berusia 30 atau 40an itu dipercayai dibunuh beberapa hari sebelum ditemui oleh pekerja ladang di kawasan itu.

“Kita turut tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat mangsa.

“Bagaimanapun, polis telah menghantar mayat berkenaan ke Hospital Kunak untuk proses lanjutan,” katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Radzali meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga supaya datang ke IPD Kunak atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

“Selain itu, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Maulana Omar di talian 089-851222,” katanya.