Site Last Updated 11:45 am, Saturday

Bantuan bukti TBS prihatin terhadap umat Islam

by Reno Benjamin. Posted on December 8, 2012, Saturday

BANTU: Abu Seman (dua kiri) menyampaikan bantuan TBS kepada salah seorang mangsa kebakaran sambil diperhatikan oleh Ali (kanan) di Sibu semalam.

Cawangan Sibu agih RM475,054 sejak Januari hingga kini kepada golongan yang memerlukan

SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Sibu telah mengagihkan bantuan sejumlah RM475,054 sejak Januari hingga kini kepada golongan yang memerlukan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ahli Lembaga dan Wakaf TBS, Abu Seman Jahwie berkata bantuan itu melibatkan pendidikan kepada seramai 234 pelajar dengan peruntukan sejumlah RM376,328.

Bantuan lain seperti bencana kebakaran sejumlah RM52,786 juga telah diberikan kepada 36 keluarga dan sejumlah RM45,940 lagi bagi bantuan perubatan kepada seramai 31 orang pesakit.

“Walaupun bantuan yang diberikan sedikit, namun ini menunjukkan keprihatinan TBS membantu umat Islam,” katanya pada majlis penyampaian bantuan bencana kepada 10 keluarga di Kampung Usaha Jaya, Jalan Sentosa yang kediaman mereka musnah dalam kebakaran pada 28 Ogos lepas.

Majlis berlangsung di TBS Sibu di sini semalam turut dihadiri oleh Ketua Pejabat TBS Sibu, Ali Mat.

Menurut Abu Seman, ketua kaum serta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jiran Wanita, Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), ahli majlis dan ketua-ketua cawangan parti politik harus memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada TBS.

Ini kerana, katanya, termasuk maklumat golongan yang memerlukan bantuan daripada TBS seperti golongan daif, orang sakit, ibu tunggal dan sebagainya.

“Dengan ini baharulah masyarakat Islam terjaga dari segi kebajikan, sekali gus menunjukkan Islam itu indah,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut memberitahu bahawa TBS ditubuhkan dengan tujuan bagi membantu umat Islam yang memerlukan.

“Di samping itu, TBS juga berperanan menguruskan zakat dan fitrah serta menguruskan wakaf selain mengagihkan sedekah yang dikumpul untuk tujuan kebajikan,” katanya.

 

 

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.