Dendam: Suami isteri dikelar bekas pekerja

0

KUCHING: Sepasang suami isteri dikelar di leher oleh seorang lelaki yang juga bekas pekerja mereka selepas eng­gan mengambilnya bekerja semula di restoran mereka, awal pagi semalam.Insiden berlaku di Jalan Rubber di sini selepas sus­pek dipercayai menceroboh masuk restoran milik pas­angan itu melalui tingkap bahagian dapur sekitar jam 4 pagi semalam.

Perkara itu disedari si suami iaitu Saad Elsir Eltoun Ezsadig, 28, berasal dari Sudan yang kemudian cuba berbincang dengan suspek yang sebelum ini diberhen­tikan kerja berikutan masalah disiplin.

Bagaimanapun, difaham­kan berlaku pertikaman lidah di antara mereka menyebab­kan suspek bertindak agresif terhadap Saad dan isterinya, Marina Julai, 42.

Selain itu, suspek juga dika­takan telah mengambil sebilah pisau dari dapur restoran tersebut lalu menikam leher kedua-dua mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian menggunakan sebuah mo­tosikal jenis Honda Ex5.

Mangsa dan isterinya ke­mudian dikejarkan ke Hos­pital Umum Sarawak (HUS) oleh orang awam selepas melihat mangsa berlari keluar dari restoran tersebut.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Roslan Bek ketika mengulas mengenai insiden tersebut memberi­tahu, suspek juga difaham­kan mengalami kecederaan pada lengan kirinya akibat digigit oleh mangsa semasa pergelutan.

“Hasil temu bual dengan mangsa di HUS mendedahkan suspek dikenali sebagai Lee berumur 20-an adalah bekas pekerja mereka yang diber­hentikan kerja kerana masalah disiplin.

“Justeru motif sebenar kejadian disyaki akibat den­dam dan kes diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut beliau juga, ked­ua-dua mangsa kini dilapor­kan stabil namun masih menerima rawatan di HUS.

Sehingga berita ini ditulis semalam, belum ada tangka­pan dilakukan berhubung kes tersebut dan pihak polis masih menjalankan siasatan.