ICH adakan jerayawara di seluruh negeri

0

KUCHING: Imperia College of Hospitality (ICH) akan mengadakan jerayawara di seluruh negeri untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memenuhi permintaan industri perhotelan negara.

Menurut kenyataan akhbarnya semalam, jerayawara ICH akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 10 dan 11 Disember, Dewan Setia Simunjan (12 Disember), Gelanggang Bola Keranjang Tertutup Sri Aman (13 Disember), Betong Hotel (14 Disember) dan Gelanggang Bola Keranjang Tertutup Saratok (15 Disember).

Institusi itu dalam kenyataannya telah menetapkan sasaran untuk menjadi ikon pengajian tinggi yang melahirkan tenaga kerja profesional dalam bidang perhotelan dan pelancongan.

ICH lebih memfokuskan kepada pengkhususan peringkat Diploma dalam bidang Pengurusan Hotel, Pengurusan Pelancongan, Pengurusan Atur Cara, Seni Kulinari dan buat julung kalinya di Malaysia, Pengurusan Taman Tema dan Tarikan serta Sijil Pengoperasian Hotel.

ICH juga merupakan satu-satunya institusi yang terletak di dalam sebuah resort iaitu Bukit Gambang Resort City di Gambang, Pahang dengan suasana pembelajaran yang amat kondusif.

Pembelajaran dijalankan dalam tempoh dua tahun lima bulan disertakan latihan industri dan latihan pengurusan bagi pelajar tahun akhir di Bukit Gambang Resort City sebagai persediaan untuk diserap sebagai kakitangan tetap.

“Ini merupakan satu kaedah dan pendekatan yang sangat efektif bagi memastikan pelajar lepasan ICH mendapat kerjaya dalam bidang yang dipelajari dan pihak industri, Bukit Gambang Resort City mendapat tenaga kerja berkelayakan dan memenuhi kehendak mereka.

“Bagi pelajar yang tidak mempunyai kepujian yang mencukupi untuk mengikuti bidang Diploma iaitu di bawah tiga kepujian SPM, mereka boleh memilih mengikuti program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Pelajar kemahiran akan tetap berpeluang untuk bersaing dalam kerjaya dan peringkat yang sama dengan sijil SKM yang dicapai.

“Buat pada masa ini, ICH menawarkan SKM dalam bidang Penyajian Makanan dan Pramusaji Tahap 1, 2, 3 dan Diploma in Hospitality, Sunderland, UK. Manakala program Guest Service Operations dan Tourist Guide turut ditawarkan,” katanya.

Mereka juga akan diberi peluang pekerjaan di Bukit Gambang Resort City selepas tamat pembelajaran.

Untuk keterangan lanjut, pelajar lepasan dan pra-SPM digalakkan hadir bersama ibu bapa dengan membawa sijil-sijil berkaitan ke kaunter ICH pada hari yang telah ditetapkan.