Penyerang Croatia dan bintang Harimau Muda bakal tampil Sarawak pasukan digeruni musim depan
KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts meletakkan harapan tinggi di bahu dua tonggak baharu Ivan Babic dan Ahmad Aminuddin Shaharuddin dalam misi mengharungi kempen Liga Perdana yang bakal bermula Januari depan.
Katanya, kehadiran penyerang dari Croatia dan Selangor itu telah melengkapkan persiapan Sarawak untuk tampil selaku pasukan yang digeruni musim depan.
Ditemui semasa sesi latihan di Stadium Negeri di sini semalam, Alberts menjelaskan bahawa Ivan, 28, dan Aminuddin, 22, memiliki kriteria sebagai pemain yang beliau kehendaki selama ini.
“Ivan pantas dan bijak mencari ruang untuk menjaringkan gol. Beliau juga memiliki penyudah yang baik serta berkemahiran tinggi mengawal bola.
“Manakala Amin mempunyai kepantasan yang sangat kita perlukan di bahagian sayap. Ia perlu bagi menggantikan Ashri Chuchu yang masih belum pulih daripada kecederaan.
“Saya juga tertarik dengan kemahiran yang dimiliki Amin kerana beliau pernah bermain dengan Harimau Muda di bawah bimbingan jurulatih, Ong Kim Swee,” katanya.
Menurut Alberts, pihaknya telah lama berminat dengan Amin dan berhasrat untuk mengambil beliau awal 2012 bagi mengharungi cabaran Sarawak dalam Liga Super.
“Saya yakin gandingan dua tonggak itu dapat mempertajam bahagian serangan kita yang tidak begitu berkesan pada musim lalu,” akui Alberts.
Disoal mengenai peluang Sarawak, Alberts menyuarakan rasa optimis dengan kemampuan pasukannya untuk berada dalam kelompok tiga tempat teratas pada Liga Perdana 2013 nanti.
Katanya, kehadiran semula ayam tambatan, Joseph Kallang Tie dan Bobby Gonzales dari Sabah bakal menguatkan lagi barisan hadapan skuad Ngap Sayot musim depan.
Beliau juga melemparkan keyakinan terhadap benteng pertahanan yang diperkukuhkan dengan kehadiran dua pemain dari Sabah iaitu Ronny Harun dan Mafry Balang.
Mafry pernah menyarung jersi Kelantan secara pinjaman pada kempen Piala Malaysia 2012.
“Kita juga menampilkan dua muka baharu iaitu Mohd Zulfadli Awang Marajeh dan Daglis Papin Test yang telah menunjukkan prestasi memberangsangkan pada kempen Piala Sara–wak di Miri baru-baru ini,” kata Alberts.
Sarawak mendaftar seramai 24 pemain bagi mengharungi Liga Malaysia musim 2013 dengan mengekalkan 16 muka lama dan mengikat lapan muka baharu.
Pemain-pemain lama yang dikekalkan ialah Saiful Amar Sudar, Guy Bwele, Mazwandi Zakeria, Shahrul Abdul Malek, Sahran Abdul Samad, Mohamad Fareez Tukijo, Azizan Saperi, Mohd Hairol Mokhtar, Ashri Chuchu, Ramesh Lai Ban Huat, Mohammad Dzulazlan Ibrahim, Ronald Dennis, Shahrol Saperi, Azizan Baba, Aidil Mohamad dan Sani Anuar Kamsani.
Manakala, muka baharu ialah Ivan Babic, Bobby Gonzales, Ronny Harun, Mafry Balang, Ahmad Aminuddin Shaharudin, Daglis Papin Test, Mohd Zulfadli Awang Marajeh dan Joseph Kallang Tie.
Skuad Ngap Sayot akan mengadakan empat perlawanan persahabatan minggu depan bagi menguji kemampuan pemain-pemain selain mencari formasi berkesan.
Mereka akan menentang Negeri Sembilan pada 13 Disember di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Harimau Muda (15 Disember) di laman lawan, Selangor (19 Disember) juga di tempat lawan dan ATM pada 22 Disember.